Qualcomm Lebih Memfokuskan Asia Tenggara Tahun Ini – Berkongsi Mengenai Snapdragon 820

Qualcomm Lebih Memfokuskan Asia Tenggara Tahun Ini – Berkongsi Mengenai Snapdragon 820

Diterbitkan pada Apr 5, 2016 oleh .

Qualcomm merupakan salah satu pengeluar cip terkemuka yang berpangkalan di San Diego, Amerika Syarikat. Mereka mempunyai penawaran bukan sahaja untuk telefon pintar berspesifikasi tinggi, tetapi juga untuk pertengahan dan juga rendah.

Pada tahun lepas, Qualcomm telah menghadapi pelbagai tekanan disebabkan beberapa masalah dengan cip pemprosesan Snapdragon 810. Untuk tahun ini, mereka ingin mengatasi pelbagai kelemahan dan hadir dengan cip pemprosesan terkini iaitu Snapdragon 820.

Snapdragon 820 telah mula digunakan pada beberapa telefon flagship terbaru, termasuk pada LG G5, Xiaomi Mi 5 dan juga Samsung Galaxy S7 (edisi Amerika Syarikat). Baru-baru ini, pihak Qualcomm telah menghadirkan diri ke rantau Asia Tenggara, dan mengatakan mereka akan lebih memfokuskan rantau ini pada tahun ini. Mungkin dengannya, kita akan melihat lebih banyak peranti menggunakan cip pemprosesan Snapdragon dipasarkan di rantau Asia Tenggara.

Qualcomm seperti biasa berkongsi mengenai beberapa fungsi baru yang dibawakan oleh Snapdragon 820 mereka. Snapdragon 820 merupakan cip pemprosesan berkuasa yang turut dilengkapi dengan kuasa grafik dan beberapa ciri-ciri menarik khusus melaluinya.

Qualcomm Snapdragon 820 SEA

Snapdragon 820 hadir dengan teknologi Qualcomm Kyro CPU yang menawarkan kuasa pemprosesan tinggi dan penggunaan tenaga rendah. Kyro juga merupaak cip empat-teras 64-bit pertama yang direkabentuk dengan rekaan 14nm FinFET LPP. Pada bahagian grafik pula, ia hadir dengan Adreno 530 yang menawarkan kuasa grafik 40% yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Melengkapkan cip Snapdragon 820 juga adalah pemproses khusus untuk gambar dinamakan sebagai Qualcomm Spectra. Melaluinya, ia kini membolehkan rakaman gambar pada keadaan cahaya malap menjadi lebih baik, disamping menambah-baik kebolehan zoom dan juga pemantauan gerakan. Disamping itu, Qualcomm turut mengatakan cip pemprosesan mereka kini berupaya menawarkan pengalaman dunia realiti-maya yang baik.

Qualcomm Snapdragon 820 SEA

Cip pemprosesan Qualcomm juga turut hadir dengan teknologi pengecasan pantas, membolehkan peranti dengan Snapdragon 820 bukan sahaja mengoptimasikan penggunaan bateri untuk masa yang lebih lama, tetapi turut berupaya mengecas sehingga 80% dalam masa 35 minit menggunakan teknologi Qualcomm Quick Charge 3.0. Selain bateri, pihak Qualcomm turut menyertakan sokongan X12 LTE pada cip pemprosesan mereka yang membolehkan sokongan pelbagai jenis rangkaian LTE dan kadar muat-turun mencapai 600Mbps terus pada peranti mudah-alih.

Cip pemprosesan terkini Snapdragon 820 juga turut hadir dengan beberapa ciri-ciri khusus Qualcomm yang boleh diintegrasikan oleh pengeluar peranti – termasuk sokongan yang dinamakan sebagai Snapdragon Smart Protect yang membolehkan peranti dilindungi daripada ancaman sekuriti luar, dan teknologi 3D Fingerprint yang membolehkan integrasi yang lebih baik untuk imbasan cap jari.

Qualcomm Snapdragon 820 SEA

Disamping dengan cip Snapdragon 820, pihak Qualcomm juga turut berkongsi mengenai dua lagi cip berspesifikasi pertengahan, iaitu Snapdragon 652 dan Snapdragon 625. Kedua-duanya menawarkan sokongan rakaman yang lebih baik termasuk video pada resolusi 4K, sokongan permainan 3D yang baik, integrasi cip rangkaian untuk kelajuan LTE yang pantas, dan juga masa penggunaan bateri yang lebih dioptimasikan.

Buat masa ini, tiada lagi peranti menggunakan Snapdragon 820 yang telah dipasarkan di Malaysia buat masa ini. Kita mungkin akan mendengar lanjut mengenai produk yang menggunakannya hadir ke pasaran tempatan dalam beberapa bulan lagi.


TIPS & ULASAN