Bagi beberapa pemilik PlayStation 4, ada yang menantikan sokongan Remote Play bagi membolehkan anda bermain permainan PlayStation 4 terus melalui komputer anda. Selepas berkongsi mengenainya pada awal bulan Mac lepas, terkini Sony mengumumkan mereka akan memperkenalkan sokongan tersebut melalui kemaskini PlayStation 4 esok.
Fungsi baru ini akan hadir melalui PS4 3.5 System Update yang dijadualkan diperkenalkan bermula esok. Ia akan menyokong sistem operasi Windows 8.1 dan terkini, serta OS X 10.10 dan terkini. Melaluinya, pengguna akan diperlukan menghubungkan DualShock 4 ke komputer melalui USB untuk mengawal permainan.
Disamping itu, kemaskini baru ini juga akan membolehkan pengguna melabelkan diri mereka sebagai offline, selain menetapkan menerima notifikasi sekiranya rakan mereka sedang bermain atas-talian.
Bagi anda yang mempunyai PlayStation 4, anda boleh menyemak kemaskini sistem esok, dan mencuba fungsi Remote Play dan pelbagai perkara lain yang dibawakan kelak.