YouTube Gaming Kini Tersedia Untuk Pengguna Malaysia

YouTube Gaming Kini Tersedia Untuk Pengguna Malaysia

Diterbitkan pada Apr 7, 2016 oleh .

youtube-gamingSemakin hari semakin berkembang dunia e-Sukan di seluruh dunia malahan acara e-Sukan turut diadakan pada acara sukan Olimpik tahun ini. Google tidak terkecuali dalam perihal ini telah memperkenalkan YouTube Gaming pada tahun lalu dan bermula hari ini, pengguna tempatan boleh mengakses YouTube Gaming bagi menikmati kandungan e-Sukan serta terus melakukan penstriman dari peranti mereka.

Bagi anda yang tidak mengetahui akan inisiatif YouTube Gaming dari Google, ia merupakan cabang dari YouTube dengan fokus terhadap permainan. Terdapat halaman dan juga aplikasi khusus untuknya, membolehkan peminat permainan mengikuti kemaskini terkini dunia permainan didalam bentuk yang pelbagai.. Jika sebelum ini pengguna perlu memasuki halaman YouTube dan akan dihidangkan dengan pelbagai video dari bermacam kategori, halaman YouTube Gaming hanya akan memaparkan kandungan berkaitan permainan seperti siaran langsung sesi sesuatu permainan, tips, trailer, dan juga rakaman video dari pemain lain. Pengguna juga akan menerima notifikasi apabila siaran langsung sesuatu permainan sedang berlangsung pada saat tersebut, baik pada web mahupun pada aplikasi.

YouTube Gaming - YouTube Gaming-list YouTube Gaming - YouTube Gaming-game

Satu lagi perbezaan adalah pengguna juga boleh melanggan sesuatu permainan bagi mengikuti kemaskini berkaitannya. Seperti contoh jika anda minat dengan permainan Clash Royale, kesemua video permainan Clash Royale yang diterbitkan akan dipaparkan pada satu halaman. Sekiranya terdapat video terbaru dari Supercell bagi mempromosi Clash Royale, video tersebut juga akan dipaparkan pada saluran tersebut. Pendek kata, bagi pemilik saluran seperti contoh Nerd Gaming Malaysia, permainan yang dimainkan oleh mereka seperti Five Nights at Freddy, Minecraft, akan terpapar pada saluran permainan tersebut, sekaligus mempromosi karya mereka kepada lebih ramai penonton, dan tidak terhad pada saluran YouTube biasa.

YouTube Gaming - YouTube Gaming-channel

Selain dari memudahkan penonton untuk mengikuti sesuatu permainan, YouTube Gaming juga memudahkan pencipta kandungan permainan untuk berkongsi video dan melakukan penstriman secara langsung. Ini kerana inisiatif YouTube Gaming turut membolehkan pencipta kandungan permainan ditaja oleh penonton mereka, sekaligus menambah pendapatan mereka. Ini sedikit berbeza dari pengiklanan pada YouTube yang hanya ditawarkan menerusi platform Adsense.

youtube-gaming-mobileTerdapat juga aplikasi YouTube Gaming pada platform iOS dan Android bagi memudahkan penonton mengikuti perkembangan dunia permainan pada telefon pintar. Penstriman permainan juga boleh dilakukan namun ia hanya terhad kepada platfrom Android. Menariknya pengguna juga boleh menstrimkan permainan pada telefon pintar untuk tontonan secara langsung atau melakukan rakaman. Ini sekaligus membuka lebih banyak perkongsian video permainan dari platform mudah alih, memandangkan tidak banyak telefon yang menyertakan fungsi merakam permainan, apatah lagi fungsi menstrimkan permainan tersebut. Fungsi rakaman video pada peranti Android juga terhad buat masa ini, yang biasanya terdapat pada peranti dengan spesifikasi tinggi.

Menggunakan aplikasi ini, pengguna hanya perlu memilih sama ada akan menyiarkannya secara langsung, atau hanya ingin merekodkan sesi permainan tersebut. Pengguna juga boleh memilih untuk merakam wajah mereka sewaktu bermain bagi memaparkan reaksi dan juga suara ulasan sewaktu memainkan permainan tersebut. Buat masa ini rakaman dan penstriman menerusi aplikasi YouTube Gaming mempunyai pilihan resolusi 720p HD dan juga 480p SD.

Perlu diingatkan kepada pengguna yang mana dengan rakaman yang dilakukan, segala notifikasi dan aktiviti pada skrin akan terpapar. Jadi sekiranya terdapat kata-kata nista yang dihamburkan baik dari segi tulisan di ruang sembang mahupun sebutan, ia akan turut dirakamkan. Sebagai tips untuk merakam video dengan kualiti audio yang baik, mungkin pengguna perlu menggunakan fon telinga bagi menapis bunyi-bunyi luar. Jika tidak menggunakan fon telinga, rakaman yang dilakukan menggunakan mikrofon pada peranti akan turut merakam bunyi-bunyi luaran serta latarbelakang.

Dengan pengenalan YouTube Gaming untuk pengguna tempatan, ia bukan sahaja memudahkan pengguna untuk mengikuti dunia permainan dengan lebih mudah, bahkan mempromosi perwira siber tanah air dan juga pencipta kandungan permainan tempatan untuk lebih memeriahkan dunia permainan di seluruh dunia.

Layari: YouTube Gaming

Muat-turun: Aplikasi YouTube Gaming (Android)

Muat-turun: Aplikasi YouTube Gaming (iOS)


TIPS & ULASAN