Cari @ Amanz

Pada bulan Ogos tahun lalu Facebook telah menambah fungsi penstriman video secara langsung untuk halaman Facebook Pages yang dinamakan Facebook Live. Fungsi ini membolehkan pemilik Facebook Pages berkongsi video secara langsung terus pada halaman Facebook mereka. Hari ini fungsi ini telah sedia untuk digunakan oleh pemilik Facebook Pages di Malaysia.

Bagi memulakan Facebook Live, pemilik halaman Facebook Pages hanya perlu menekan ikon bersebelahan ikon lokasi, memasukkan tajuk berkenaan siaran langsung tersebut, dan memulakan penstriman. Buat masa ini penstriman adalah melalui aplikasi Facebook pada telefon pintar dan menggunakan kamera pada peranti tersebut, sama ada kamera utama atau kamera hadapan. Buat masa ini tiada kebolehan untuk mengubah sumber penstriman tersebut seperti dari kamera DSLR atau kamera video.

Facebook Live Malaysia - IMG_8180

Pihak Facebook dalam berkongsi mengenai fungsi ini, menerangkan yang mana ia akan diberikan secara berperingkat, dan menerusi semakan kami dengan pengendali halaman Facebook Pages yang lain, ada yang masih tidak menerima fungsi ini lagi. Mereka juga turut menyatakan fungsi Facebook Live ini bakal hadir untuk Facebook Groups bagi membolehkan kumpulan pengguna tersebut melakukan siaran video secara langsung.

Dengan fungsi penstriman video secara langsung ini juga membolehkan pelbagai perkara dilakukan, seperti contoh pengenalan dan demonstrasi produk, kelas kuliah, dan pelbagai lagi. Malah penyebaran video pada sesuatu ketika juga akan lebih pantas menerusi fungsi ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd