HP merupakan salah satu jenama yang terkenal untuk dua perkara, iaitu satu untuk penawaran komputer mereka, dan satu lagi adalah penawaran pencetak mereka – sama ada untuk pengguna umum mahupun untuk pengguna perusahaan.
Terkini, HP telah pun memperkenalkan sejumlah pencetak baru mereka untuk perusahaan yang hadir dengan beberapa ciri-ciri menarik – terutamanya memfokuskan kepada kepantasan mencetak, dan lebih efisyen berbanding sebelum ini.
HP sendiri telah sekian lama tidak memperkenalkan pencetak baru secara besar-besaran – dan pengenalan kali ini adalah pertama kali dilakukan oleh HP dalam tempoh sedekad yang lepas. Tiga kategori pencetak diperkenalkan oleh HP, iaitu HP Office Jet Pro, HP Laser Jet dan juga HP PageWide.
HP PageWide menjadi fokus utama pihak HP dalam pengenalan pencetak baru mereka ini. Melalui HP PageWide, ia menawarkan percetakkan dengan warna professional, kelajuan cetakkan yang pantas, dan pada masa yang sama kos yang lebih rendah berbanding kebiasaan. Daripada percubaan yang kami sendiri lihat, HP PageWide ini menawarkan hasil cetakkan yang berkualiti dan boleh dikatakan lebih kurang sama seperti LaserJet.
HP mengatakan mereka menjayakan percetakkan pantas dan berkualiti ini dengan menggunakan kepala pencetak yang tidak lagi bergerak seperti asalnya, sebaliknya kini ia statik dan hanya kertas yang bergerak. HP juga menggunakan dakwat yang khusus yang lebih pekat untuk menghasilkan hasil cetakkan yang berkualiti dan pantas.
HP PageWide hanya ditawarkan dengan sokongan percetakkan kertas sehingga A4 sahaja buat masa ini, dan ia akan diperluaskan dengan sokongan A3 pada awal tahun 2017 kelak.
Selain HP PageWide, pihak HP turut memperkenalkan pencetak baru dibawah keluarga HP OfficeJet Pro yang menawarkan kebolehan mencetak pada kos yang rendah dan ditujukan kepada syarikat kecil dan sederhana yang jarang mencetak.
HP Laser Jet turut dikemaskini dengan beberapa penawaran baru, dimana ia ditujukan untuk syarikat yang membuat percetakkan yang banyak dan pada masa yang sama inginkan kelajuan cetakkan pantas.
Melengkapkan ketiga-tiga keluarga pencetak baru ini adalah HP Secure Managed Print Services yang mana membolehkan pengguna membuat percetakkan dengan selamat dan tidak mendedahkan sebarang info sulit kepada pekerja lain.
Daripada contoh yang diperlihatkan, ketika membuat percetakkan, pengguna perlu ke pencetak dan memasukkan kod yang khusus untuk membuat percetakkan – sekaligus mengelakkan apa yang dicetak anda dilihat oleh pekerja lain, terutamanya pada pejabat-pejabat besar yang memerlukan anda berkongsi pencetak.
Beberapa pencetak HP yang terbaru juga turut hadir dengan sokongan mencetak terus daripada pemacu USB – sekaligus memudahkan lagi pengguna dalam usaha untuk mencetak, dan tidak memerlukan pengguna untuk menghubungkan ia kepada komputer sebelum mencetak. Namun, buat masa ini, jenis dokumen yang disokong adalah DOC dan PPT sahaja, selain daripada PDF dan JPG. Sokongan pintar lain seperti mencetak terus daripada telefon pintar dan tablet turut disertakan pada pencetak-pencetak baru HP ini.
Semua pencetak baru ini akan ditawarkan di pasaran tempatan secara berperingkat pada tahun ini. Tiada sebarang tarikh pasti yang diberikan oleh HP buat masa ini, dan harganya untuk pasaran tempatan juga masih tidak dapat dipastikan lagi. Disamping pencetak kertas ini, pihak HP bakal memperkenalkan pencetak 3D baru pada penghujung tahun ini.