Carian
Teknik Menggodam iPhone 5C Oleh FBI Tidak Boleh Digunakan Pada Model iPhone Yang Lain
April 8, 2016 Effi Saharudin

Antara berita paling menarik beberapa minggu kebelakangan ini ialah kejayaan pihak FBI menggodam iPhone 5C milik Syed Rizwan, pembunuh yang melakukan serangan di San Bernardino. Peranti beliau menjadi sumber perbalahan di antara FBI dan Apple kerana pihak Cupertino enggan membantu pihak berkuasa menyahsulit peranti buatan mereka. Ini mengakibatkan FBI terpaksa mendapatkan bantuan syarikat keselamatan peranti mudah alih Cellebrite bagi mengakses kandungan yang terkunci di dalam peranti ini.

iPhone 5CSelepas peranti berjaya dinyahsulit dan maklumat dibaca, Apple kemudian meminta bantuan FBI untuk mengetahui bagaimana ia dilakukan. FBI memulangkan paku buah keras kepada Apple dan enggan memberikan kerjasama. Sungguhpun begitu pengarah FBI Jamey Comey mengesahkan teknik yang mereka gunakan untuk mengakses data pada peranti Syed Rizwan tidak boleh digunakan pada model iPhone lebih baru termasuklah 5S.

Ini adalah kerana 5C menggunakan cip Apple A6 yang tidak mempunyai sistem penyulitan Secure Enclave yang hanya mula digunakan pada cip Apple A7 dan ke atas. Jadi sekiranya anda menggunakan iPhone lebih terkini dari 5C, anda tidak perlu risau data akan boleh diakses pihak berkuasa buat masa ini.

Komen