Cari @ Amanz

Tim Cook dipetik menyebut iPad Pro ialah peranti yang menandakan bermulanya era pasca PC. Dengan iPad Pro 9.7 beliau sekali lagi menegaskan era PC sudah berakhir dan tablet buatan mereka ini ialah yang paling sesuai untuk menggantikan PC milik anda. Tetapi secara ikhlas kami katakan tablet masih mempunyai banyak kelemahan. Ia tidak mempunyai skrin yang besar, mempunyai hayat bateri yang pendek dan tidak dilengkapi papan kekunci yang benar-benar selesa. Surface Pro 4 yang kami rasakan mempunyai papan kekunci yang baik sekalipun masih belum cukup bagus jika dibandingkan dengan papan kekunci biasa.

Apple mungkin percaya era PC akan berakhir tetapi masih tegar menghasilkan komputer riba MacBook yang laku jualannya. Paten terkini yang mereka failkan nampaknya akan membawakan perubahan drastik kepada rekaan MacBook di masa hadapan sekiranya ia menjadi realiti.

Apple-Paten-kekunci-3D-TouchKeseluruhan papan kekunci fizikal dan pad sesentuh digantikan dengan skrin sesentuh 3D Touch. Menerusi penggunaan panel sesentuh 3D Touch, konfigurasi kekunci dapat dikustomasikan mengikut kehendak pengguna. Anda lebih selesa dengan DVORAK? Kekunci QWERTY yang dipaparkan akan berubah dengan sekelip mata.

Fungsi menarik lain ialah bahagian kanan skrin boleh memaparkan kekunci untuk nombor apabila diperlukan. Pada MacBook sekarang, ruang ini dikosongkan untuk dijadikan tempat meletakkan telapak tangan ketika menaip. Adakah ini idea yang baik? Secara peribadi kami lebih selesa menaip dengan kekunci fizikal ketika melakukan kerja kerana dapat merasakan setiap kekunci yang ditekan.

Papan kekunci maya pada peranti pintar tidak memberikan timbal balas yang baik serta menyakitkan bahagian hujung jari. Seperti biasa paten yang difailkan tidak bermakna ia akan menjadi realiti. Tetapi sekiranya ia berlaku adakah ia inovasi yang bakal menjadi ikutan pengeluar lain?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd