Antara isu hangat yang diperkatakan minggu ini ialah pelanggan setia Maxis yang merasakan diri mereka tidak dihargai oleh syarikat telekomunikasi gergasi negara ini. Mereka mendakwa tidak diberikan tawaran khas pakej pada harga lebih rendah dengan jumlah data yang lebih tinggi walaupun sudah menjadi pelanggan setia melebihi sedekad. Sebaliknya pelanggan yang bercadang berubah ke syarikat telekomunikasi lain pula diberikan pakej lebih murah sebagai cara memujuk mereka supaya kekal dengan Maxis.
Laman Facebook Maxis menjadi agak hangat disebabkan apa yang berlaku. CEO Maxis Morten Lundal hari ini melakukan pengumuman mengejut menerusi Facebook Live dan meminta maaf kepada pelanggan yang terasa diri mereka tidak dihargai. Beliau menyedari perasaan pelanggan pastinya terguris dan membuat peningkatan kuota pada kesemua pelanggan pakej One Plan.
Menerusi pelan baru ini pelanggan dengan pelan kuota 1 GB akan ditingkatkan ke 5 GB. Pelanggan pelan 3GB pula akan ditingkatkan ke 8 GB. Kesemua pelan baru ini akan berkuat kuasa bermula bulan Mei ini.
Pada waktu yang sama kesemua pelanggan Maxis One Plan akan menerima kuota data sebanyak 3 GB secara percuma bulan ini sebagai tanda memohon maaf atas kesilapan mereka menangani insiden ini.
Dengan pengumuman ini Maxis berharap penawaran pelan mereka akan lebih kompetitif dengan pesaing-pesaing mereka. Pada waktu yang sama penghijrahan pelanggan kepada pesaing dapat dihentikan. Adakah anda pelanggan Maxis? Sekiranya ya adakah anda berpuas hati dengan pakej baru yang mereka tawarkan ini?