Cari @ Amanz

Arena pelayar web boleh dikatakan salah satu arena yang mempunyai persaingan yang tinggi – dan pada masa yang sama memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk membuat pilihan pelayar web yang bersesuaian dengan mereka. Terkini, salah satu pelayar web yang masih dalam pembangunan adalah Brave, yang mana membawakan beberapa ciri-ciri memfokuskan privasi serta pada masa yang sama membayar pengguna untuk menggunakannya.

Brave dimulakan oleh bekas CEO Mozilla, dan ia ditawarkan untuk pengguna peranti mudah-alih dan juga desktop. Ia masih lagi pada peringkat pembangunan buat masa ini, dan dijangka versi stabilnya hadir dalam masa beberapa bulan lagi.

Walaupun masih dalam pembangunan, pihak Brave telah mula mendekati komuniti dengan mengadakan acara bertemu dengan komuniti dibeberapa buah negara. Dimulakan dari Indonesia, kini pada hari ini mereka turut telah mengadakan pertemuan ringkas dengan bersama komuniti tempatan.

Brave Malaysia

Melalui pertemuan ringkas yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini, beberapa fungsi asas berkaitan Brave dikongsikan – disamping pada masa yang sama bertemu dengan beberapa peminat teknologi tempatan dalam bertukar-tukar pendapat.

Brave merupakan pelayar web yang berasaskan enjin Chromium pada desktop, disamping turut ditawarkan untuk iOS, dan dalam bentuk Link Bubble untuk Android. Ia menawarkan pelbagai ciri-ciri pelayar web biasa, dan pada masa yang sama ia memfokuskan kepada privasi.

Pengguna boleh mengaktifkan mod yang dipanggil sebagai Shield, dan ia akan melindungi pelbagai data pelayaran anda daripada dipantau pihak ketiga. Bagi anda yang tidak perasan, kebiasaannya terdapat beberapa cookie yang memantau pelayaran web pengguna dan memaparkan iklan yang bergantung kepada minat seseorang. Perkara ini mungkin tidak diminati segelintir pengguna, dan Brave mungkin sesuai untuk anda.

Brave Malaysia

Disamping itu, Brave juga turut dilengkapi dengan penghalang iklan terbina pada pelayar web berkenaan. Membawanya ia setapak lagi kehadapan, Brave turut memaparkan iklan mereka tersendiri pada ruangan iklan di web lain – dan wang yang terhasil daripadanya dibayar kembali kepada pengguna. Brave mengatakan sebahagian wang yang terhasil akan dikembalikan kepada pemilik web – namun bagaimanakah ia akan berfungsi sepenuhnya masih tidak diketahui. Brave dikatakan akan menggunakan Bitcoin dalam membuat pembayaran kepada pengguna.

Brave Malaysia

Buat masa ini, Brave masih lagi pada peringkat pembangunan, dan mungkin kita akan dapat melihat beberapa fungsi baru ditambah pada Brave dalam beberapa versi akan datang. Dengan adanya komuniti Brave Malaysia, tidak mustahil juga untuk kita melihat pelayar web berkenaan ditawarkan dalam bahasa Malaysia pada masa akan datang.

Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun dan mencuba Brave dalam versi beta pada hari ini. Disamping itu, anda turut boleh mengikuti Brave Malaysia di Twitter untuk mendapatkan pelbagai maklumat semasa berkaitan dengan komuniti Brave Malaysia dan perkembangan pelayar web berkenaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd