Carian
Molekul DNA Berjaya Digunakan Sebagai Medium Storan Data Digital – Mampu Bertahan Ribuan Tahun
April 11, 2016 Effi Saharudin

Berapakah saiz muatan dalaman peranti anda? Bagaimana pula dengan muatan dalam cakera keras komputer peribadi anda? Kami yakin saiz gabungan kesemua data peribadi seperti gambar, video dan dokumen anda melangkaui 1 Terabyte. Selepas kehilangan data akibat kerosakan cakera keras lima tahun yang lalu, kami mula menyimpan data secara awanan.

Kesemua perkhidmatan awanan ini hanya memberikan ruang storan yang terhad. Adalah dipercayai menjelang 2020, sebanyak 44 Trillion gigabyte data akan tersimpan secara atas talian. Sistem simpanan yang digunakan sekarang mempunyai masalah besar kerana menggunakan sistem mekanikal. Umum diketahui sistem mekanikal akan mengalami kerosakan dan bukanlah medium simpanan jangka panjang yang terbaik.

DNA-Data-Digital-2Saintis di University of Washington bekerjasama dengan Microsoft bagi mencari sistem simpanan masa depan yang lebih bertahan lama. Pada waktu yang sama sistem baru ini haruslah lebih efisien dalam menyimpan data. Hasilnya ialah gabungan dunia digital dan biologi seakan karya fiksyen sains. Mereka berjaya menyimpan data untuk empat gambar digital di dalam molekul DNA. Menerusi teknik ini 10000 Gigabyte data boleh disimpan di dalam setitik bahan biologikal (seperti di dalam gambar di atas) . Kerana data tersimpan secara DNA, ia akan kekal selama ribuan tahun sebelum hancur. Ini adalah jauh lebih bertahan lama berbanding simpanan di dalam cakera optik  yang hanya mampu bertahan selama beberapa dekad.

Simpanan data secara DNA ini bukanlah jawapan kepada masalah ruangan storan yang sedia ada. Ini ialah penyelesaian kepada cara menyimpan data untuk jangka masa panjang. Tetapi dengan kemajuan teknologi dan kajian lebih mendalam mungkin sistem storan data berdasarkan DNA akan menjadi perkara normal bagi cucu cicit kita.

Komen