Cari @ Amanz
HP Spectre
Cip Intel Core i5/i7
Skrin 13.3-inci
Memori 8GB RAM
Storan 512GB SSD
Sistem Windows 10
Bateri 9 jam

Pada era dunia mobil hari ini, pelbagai pengeluar peranti mula memfokuskan kepada penawaran peranti yang ringan dan nipis bagi memudahkan pengguna membawanya kemana-mana tanpa terbeban dan memerlukan ruangan yang besar. Arena utama yang bersaing dalam menawarkan peranti yang nipis dan ringan adalah komputer riba, dan terkini HP hadir dengan penawaran mereka tersendiri.

Dinamakan HP Spectre, ia kini adalah komputer riba paling nipis di dunia, dengan ketebalan hanya sekitar 10.4mm sahaja. Kami sendiri terpesona dengan rekaan nipis yang dibawakan olehnya. Ia hadir dengan rekaan yang premium, dan turut menyertakan binaan berasaskan kepada gentian karbon. Ketika anda pegangnya dan mengoyangkan komputer riba HP Spectre ke atas dan bawah, anda boleh rasakan yang mana rekaan gentian karbonnya (pada bahagian papan kekunci) sedikit meliang-liuk. Mungkin kerana ia terlalu nipis maka perkara ini berlaku, namun ia tidaklah membawakan sebarang masalah besar kepada pengguna.

HP SpectreHP Spectre membawakan skrin bersaiz 13.3-inci, dan disebabkan memfokuskan kepada kenipisan, ia tidak dapat menyertakan sokongan skrin sentuh. Walaupun terdapat kekurangan, namun sesuatu yang menarik adalah ia tidak menggunakan cip Intel Core M seperti sejumlah komputer riba nipis yang lain dipasaran – sebaliknya menyertakan cip pemprosesan Intel Core i5/i7.

Pihak HP berjaya menyediakan ruangan pengudaraan yang baik, termasuk rekaan komputer riba yang sedikit terangkat untuk membolehkan angin panas cepat keluar melalui beberapa rongga di bawah komputer riba berkenaan.

HP SpectreDisamping itu, menariknya, tidak seperti Macbook, HP Spectre menyertakan sehingga tiga port pengecasan USB Type-C, dimana ia digunakan untuk tujuan pengecasan dan juga untuk pemindahan data. Malah, dua port USB Type-C juga turut menyokong Thunderbolt 3. Port audio juga diletakkan pada bahagian belakang komputer riba ini untuk membolehkan pengguna menghubungkan fon kepala. Tiada port lain yang disediakan pada komputer riba ini.

Pada bahagian papan kekunci, pada kiri dan kanannya, ruangan speaker disediakan untuk pengguna mendengar audio terus di hadapan. Papan kekunci yang dibawakan juga amat selesa, dan dilengkapi dengan Touchpad yang baik. Kami telah cuba menaip menggunakannya untuk seketika, dan dilihat tiada sebarang masalah menggunakannya malah ia sangat selesa untuk digunakan – sinonim dengan penjenamaan premium yang dibawakan oleh HP.

hp-spectre_05HP menggunakan engsel tersendiri pada HP Spectre ini untuk membolehkan ia dibuka dan ditutup tanpa masalah – dan pada masa yang sama memberikan binaan yang kukuh. Penggunaan engsel ini juga membawa kepada kekangan untuk membukanya pada kadar 180-darjah ataupun 360-darjah seperti komputer riba HP yang lain sebelum ini.

HP turut menggunakan logo yang direka khusus untuknya. Menurut HP, logo berkenaan akan digunakan untuk produk-produk premium sebelum ini. Ia menggantikan penggunaan logo Hewlett-Packard sebelum ini untuk produk premium memandangkan mereka telah membahagikan syarikat mereka, dan jenama Hewlett-Packard digunakan oleh syarikat lagi satu.

HP SpectreSatu lagi perkara yang berjaya disediakan oleh HP pada komputer riba ini adalah masa penggunaan sehingga 9 jam melaluinya. HP menggunakan kaedah tersendiri dalam menyusun bateri pada komputer riba berkenaan untuk membolehkan ia menyimpan tenaga untuk beroperasi bagi masa yang lama – dan pada masa yang sama mengekalkan kenipisan peranti berkenaan.

Daripada percubaan ringkas kami, kami amat menyukai komputer riba HP dengan logo baru ini. Walaupun terdapat kekurangan seperti tiada skrin sentuh dan sebagainya, tetapi bagi kami, ia tidak membawa kepada masalah yang serius – apatah lagi dengan penawaran peranti yang berkuasa tinggi dengan masa bertahan bateri yang lama.

HP masih tidak memberikan sebarang tarikh jualan untuk komputer riba ini. Tetapi, dengan fokus penawaran premium, harganya semestinya tidak murah ketika ia dijual kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd