Bulan lalu kami laporkan FBI berjaya menyahsulit iPhone 5C milik penyerang San Bernardino. Isu menyahsulit ini menyebabkan Apple diheret ke mahkamah bagi memberikan bantuan kepada pihak berwajib. Selepas Apple enggan membantu, FBI mendapatkan bantuan firma keselamatan peranti mudah alih Cellebrite bagi mengakses data terkunci.
FBI segera mengatakan teknik yang digunakan bagi mengakses data hanya boleh digunakan pada iPhone 5C dan tidak pada model baru kerana sistem Secure Enclave yang diperkenalkan pada cip Apple A7 dan ke atas. Kini wujud laporan Cellebrite semakin hampir menyahsulit sebuah iPhone 6.
Di dalam laporan ini Leonardo Fabbretti seorang warga itali mahu mengakses gambar yang disimpan di dalam iPhone 6 milik mendiang anaknya yang meninggal dunia akibat kanser. Beliau pernah cuba mendapatkan bantuan Tim Cook bagi membolehkan gambar yang tersimpan pada akuan iCloud mendiang. Namun sedih sekali si anak tidak pernah melakukan muat naik gambar ke iCloud secara automatik dan kesemua gambar terkunci di dalam peranti selepas kematiannya.
Cellebrite tampil untuk membantu Leonardo secara percuma untuk mengakses gambar anak kesayangan beliau. Menurut Leornardo Cellebrite berjaya melakukan salinan direktori data yang terkunci tetapi masih terdapat banyak kerja perlu dilakukan bagi mengakses data yang diperlukan. Sekiranya ia berjaya dilakukan nampaknya Apple perlu mencari teknik penyulitan baru bagi memastikan data peribadi pelanggan mereka tidak boleh diakses.