Selepas pelbagai ketirisan sebelum ini, hari ini HTC telah memperkenalkan telefon flagship mereka untuk tahun 2016, iaitu HTC 10. HTC melalui HTC 10 menekankan kepada sokongan kamera, disamping menyertakan rekaan peranti yang selari dengan elemen HTC sebelum ini, disamping menyertakan fungsi audio yang lebih baik.
HTC 10 hadir dengan skrin bersaiz 5.2-inci dengan paparan resolusi Quad HD (2560×1440 pixel). HTC menggunakan panel Super LCD 5 untuknya. Dari segi rekaan peranti, ia mengekalkan rekaan unibody, dimana bahagian baterinya tidak boleh ditanggalkan. Untuk memberikan keselesaan pada tangan, HTC 10 menggunakan rekaan tepi yang sedikit melengkung sekaligus memberikan keselesaan ketika memegangnya.
Dari segi spesifikasi, HTC 10 dijana menggunakan cip Snapdragon 820 2.2GHz, memori 4GB RAM, dan ruangan storan dalam pilihan 32GB atau 64GB. Pengguna turut boleh memperluaskan ruangan storannya menggunakan kad mikro-SD, disamping ia menggunakan kad SIM bersaiz nano.
HTC 10 membawakan butang Home dihadapan yang diintegrasikan dengan sokongan pengimbas cap jari.
HTC melalui HTC 10 tidak ingin mengulangi kesilapan mereka seperti pada HTC One M9 sebelum ini. Mereka menyertakan sokongan kamera yang baik, bukan sahaja di belakang, tetapi juga dihadapan.
Untuk kamera belakang, ia menggunakan kamera 12-megapixel HTC Ultrapixel yang dilengkapi dengan sokongan penstabilan imej optikal dan juga autofokus berasaskan lazer. Pengguna boleh merakamkan video 4K dengan audio Hi-Res menggunakannya, selain turut merakamkan video pada gerak perlahan. Fungsi lain seperti rakaman dalam bentuk RAW, Zoe, Video Pic (gambar bergerak), dan beberapa sokongan lain turut disertakan.
Bercakap mengenai kamera, HTC tidak melupakan kamera hadapan peranti berkenaan. HTC 10 dilengkapi kamera hadapan 5-megapixel yang turut menyertakan sokongan penstabilan imej optikal. Beberapa mod khusus disertakan termasuk Auto-HDR, Auto Selfie, Voice Selfie dan Live Make-Up.
HTC mengatakan telefon mereka bukan sahaja menawarkan kamera yang baik, tetapi turut dilengkapi dengan sokongan audio yang baik. Peranti ini telah menerima pengesahan Hi-Res Audio, dan boleh upscale audio daripada 16-bit kepada 24-bit. Peranti ini juga turut menyertakan sokongan profil audio untuk membolehkan ia mengoptimasikan audio mengikut pendengaran dan pilihan seseorang individu. HTC mengatakan BoomSound ditambah baik pada hTC 10, disamping ia turut hadir dengan tiga mikrofon dengan sokongan noise cancelation.
HTC 10 menggunakan HTC Sense berasaskan Android 6.0 Marshmallow. Pihak HTC turut menyertakan sokongan pengecasan pantas dinamakan Rapid Charger yang boleh mengecas peranti sehingga 50% dalam masa 30 minit. HTC 10 menggunakan USB Type-C untuk port pengecasan peranti berkenaan. Disamping itu, sokongan Boost+ memudahkan aplikasi dimulakan dengan pantas, disamping PowerBotics yang mematikan aplikasi yang menggunakan tenaga berlebihan pada peranti. Fungsi Game Booster turut disediakan oleh HTC 10.
HTC 10 bakal ditawarkan dalam pilihan warna kelabu, perak, emas dan juga merah bermula bulan April 2016 ini. Tiada tarikh spesifik yang diberikan oleh HTC buat masa ini untuk pelancarannya di Malaysia.