Facebook hari ini telah memulakan acara khusus untuk pembangun mereka, iaitu F8. Melaluinya, beberapa perkara telah dikongsikan oleh Facebook, dan salah satu perkara yang mencuri perhatian ramai adalah sokongan bot pada platform Messenger.
Melalui penggunaan bot ini, ia dilihat akan membantu perniagaan untuk berinteraksi dengan pelanggan dan pengguna mereka dalam bentuk masa-nyata, dan memberikan bentuk balasan yang lebih berupa manusia.
Melalui demo ringkas yang dipertontonkan, Mark Zuckerberg memperlihatkan penggunaan bot dalam media dan juga laman e-dagang. Pada laman media, pengguna boleh berinteraksi dengan bot untuk melihat berita semasa, dan mendapatkan ringkasan berita berkenaan.
Sementara untuk laman e-dagang, pengguna boleh membuat pembelian, dan penghantaran dengan mudah melaluinya.
Penyertaan Facebook dalam arena bot ini telah diperkatakan sejak beberapa minggu yang lepas. Arena yang sama juga turut telah disertai oleh Telegram, Microsoft dan beberapa nama besar yang lain, dan dilihat akan menjadi salah satu topik utama yang akan dibualkan secara meluas pada tahun ini.