LG telah memperkenalkan LG G5 pada awal tahun ini yang membawakan rekaan berbentuk modular, membolehkan pengguna membuka ruangan bateri dan menggantikan dengan modul tambahan seperti untuk audio dan kamera. Terkini, sebuah gambar baru tertiris, memperlihatkan LG bakal hadir dengan variasi peranti LG G5, dikenali dengan nama LG G5 SE.
Info berkenaan ini hadir daripada gambar bungkusan untuk LG G5 Quick Cover yang mengatakan ia boleh digunakan pada LG G5 dan juga LG G5 SE. Ia tidak diketahui lagi apakah yang bakal ditawarkan LG G5 SE ini, tetapi kita boleh menyasarkan ia sebagai peranti dengan spesifikasi rendah untuk LG G5.
Pengenalan peranti dengan spesifikasi rendah untuk sesuatu telefon flagship bukan sesuatu yang baru dan telah dilakukan oleh LG beberapa kali sebelum ini. Ia juga turut menjadi tanda tanya berkenaan apakah LG G5 SE ini bakal menyokong fungsi gantian modular LG Friends ataupun sebaliknya – dan apakah rasionalnya menggunakan nama LG G5 SE untuk peranti baru ini?