Cari @ Amanz

MEizu Pro 620160413_163353Berapakah teras pada pemproses peranti pintar yang diperlukan oleh anda? Majoriti peranti Android kini menggunakan pemproses lapan teras. Pada platform iOS pula pemproses dua teras adalah lebih dari mencukupi. Di Meizu, mereka mahu melakukan sesuatu yang unik dan menghasilkan peranti pertama di dunia dengan pemproses MediaTek Helio X25 yang mempunyai 10 teras. Persoalannya sekarang adalah ini bermakna peranti akan menjadi lebih lancar dan pantas berbanding peranti lain di pasaran? Ini ialah pandang pertama kami dengan Meizu Pro 6 yang dilancarkan minggu lalu.

Spesifikasi

Meizu Pro 6
Skrin 5.2″ SAMOLED FHD
Pemproses 2.5 x 2 + 2.0 x 4 + 1.4 x 4 GHz MediaTek Helio X25
Cip Grafik Mali-T860MP2
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte
Kamera Utama 21 Megapixel, Laser  f/2.2
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.0
Bateri 2560 mAh (Tidak boleh taggal)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1898

Meizu Pro 6 dilengkapi skrin 5.2″ SAMOLED dengan resolusi HD penuh. Dengan harga skrin AMOLED yang semakin murah jika dibandingkan dengan skrin LCD, penggunaan skrin dari keluarga ini semakin meningkat. Kerana pengguna skrin SAMOLED, penghasilan warna pada Pro 6 adalah amat terang dan hidup. Skrin SAMOLED juga kurang menggunakan tenaga berbanding skrin LCD biasa.

Pro 6 menggunakan skrin yang mampu mengesan tekanan seakan 3D Touch yang diberikan nama 3D Press. Seperti pada sistem iOS, 3D Press membolehkan menu tambahan muncul apabila ikon ditekan pada skrin. Buat masa ini hanya beberapa aplikasi Meizu menyokong sistem 3D Press ini. Sebagai contoh apabila ikon kamera ditekan, menu pilihan mengambil gambar ataupun video akan diberikan.

Pemproses MediaTek Helio X25 ini menggunakan sistem tri-cluster. Ini terdiri daripada Dua teras pada kelajuan 2.5 Ghz, empat teras pada kelajuan 2.0 GHz dan empat lagi teras pada kelajuan 1.4 GHz. Pemproses ini digabungkan dengan RAM sebesar 4 Gigabyte dan muatan dalaman 32/64 Gigabyte. Tiada sokongan kad MikroSD disertakan. Juga tidak disertakan ialah sokongan NFC dan pemancar infra merah.

Kemampuan optik ialah kamera bahagian belakang sebesar 21 Megapixel f/2.2 dengan sistem pemfokusan laser. Kamera hadapan pula ialah sebesar 5 Megapixel f/2.0. Kamera utama mampu mengambil video pada resolusi maksimum 4K.

Bateri yang digunakan pula ialah sebesar 2560 mAh. Ini ialah kecil jika dibandingkan dengan bateri yang digunakan pada beberapa peranti utama pada tahun 2016. Bagi menyelesaikan masalah bateri yang mungkin tidak bertahan lama, Pro 6 menyokong sistem pengecasan pantas mCharge 3.0. Menurut mereka bateri dapat dicaj sehingga penuh dalam masa 60 minit sahaja.

Rekaan

Tidak dapat dinafikan memang peranti ini kelihatan seperti sebuah Apple iPhone. Ini bukan peranti pertama di pasaran yang mendapat “inspirasi” dari peranti yang dihasilkan oleh Apple ini. Hanya beberapa minggu yang lalu Oppo F1 Plus dilancarkan di Malaysia dengan rekaan yang turut hampir serupa. Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dengan sisi bulat bagi memastikan ia selesa di dalam genggaman tangan pengguna. Perbezaan hanya ketara apabila bahagian belakang peranti dilihat. Kamera utama terletak pada bahagian tengah dengan sistem flash LED berbentuk bulat terletak di bawahnya.

Butang kuasa dan suara terletak pada sisi kanan dan slot untuk dua SIM bersaiz nano pula terletak pada sisi kiri. Talam slot SIM yang digunakan adalah dari jenis yang perlu diucuck dengan jarum sebelum perlu dikeluarkan. Tidak seperti kebanyakan peranti dari China di pasaran sekarang, Pro 6 tidak menyokong kad MikroSD untuk menambah memori dalaman.

 

Pada bahagian bawah terdapat slot pengecasan USB-C, pembesar suara mono dan bicu audio 3.5 mm. Pada bahagian hadapan pula hanya terdapat sebuah butang home dengan pengimbas cap jari terbina. Ini ialah satu-satunya butang pada panel hadapan kerana antaramuka Flyme OS keluaran Meizu tidak memerlukan butang multi tasking maupun back.

Secara keseluruhan rekaan dan kemasan Meizu Pro 6 adalah baik namun kerana ianya diperbuat daripada logam sepenuhnya, peranti adalah agak licin. Berita baik di sini ialah kemasan panel belakang adalah matte dan ia tidak memerangkap cap jari dengan mudah.

Flyme OS

Seperti yang kami katakan di atas Meizu Pro 6 menggunakan antaramuka Flyme OS yang berasaskan Android Marshmallow. Kesemua elemen material design Marshmallow digantikan dengan rekaan tersendiri Meizu. Tiada butang multitasking dan back digunakan untuk melakukan navigasi. Untuk melancarkan skrin multitasking, pengguna perlu mentatal dari bahagian bawah skrin ke atas. Untuk melakukan aksi back pula pengguna perlu mentatal dari butang home ke atas skrin. Pertukaran sistem navigasi ini membuatkan penggunaan peranti menjadi sedikit janggal pada awalnya. Tetapi selepas beberapa ia sebenarnya agak mesra pengguna kerana tiada keperluan untuk menekan sebarang butang. Hasilnya ialah sebuah sistem navigasi yang amat mudah digunakan dan minimalis.

Rekaan antaramuka adalah kemas dengan kombinasi warna yang sedap dipandang. Seperti rekaan peranti, Flyme OS juga mendapat ilham dari peranti iOS. Antaramuka adalah amat lancar dan pantas. Kami tidak menyedari sebarang sela masa atau kesukaran untuk melancarkan aplikasi. Kombinasi RAM yang besar dan pemproses yang berkuasa memastikan Pro 6 tidak akan memberikan sebarang masalah kepada pengguna.

Meizu-Pro-6-UI-1 Meizu-Pro-6-UI-2 Meizu-Pro-6-UI-3Seperti yang kami katakan pada perenggan permulaan, skrin Pro 6 menyokong sistem 3D Press. Beberapa ikon aplikasi natif Meizu perlu ditekan dengan kuat untuk membuka submenu. Sebagai contoh dengan menekan ikon kamera dengan kuat, pilihan untuk menangkap gambar ataupun video akan diberikan. Berikut ialah beberapa contoh sub menu yang diberikan di bawah sistem 3D Press. Kekuatan tekanan untuk melancarkan sub menu ini boleh diubah suai menerusi skrin tetapan peranti.

Meizu-Pro-6-UI-3D-press

Berikut ialah senarai beberapa fungsi tambahan yang disertakan oleh Flyme OS.

Gesture Wakeup – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera. Tatalan dari bawah ke atas pula menyahkunci peranti secara automatik.

Dwi-Tap – Menghidupkan paparan dengan menekan skrin sebanyak dua kali.

SmartTouch – Butang kawalan di atas skrin yang membolehkan pelbagai fungsi peranti dilakukan dengan satu butang maya ini.

Sekiranya anda risau dengan kustomasi yang agak sedikit dan perubahan penggunaan peranti yang drastik pada Flyme OS anda tidak perlu risau. Kami difahamkan peranti ini hanya akan menggunakan Flyme OS untuk pasaran di China. Meizu mempunyai perancangan menggunakan stock Android Marshmallow untuk Pro 6 yang dijual di pasaran antarabangsa.

Kesimpulan

Dari segi rekaan dan spesifikasi tidak banyak komen negatif yang boleh kami katakan mengenai Pro 6. Ia sebuah peranti yang kelihatan cantik. Gabungan pemproses yang berkuasa dan RAM yang besar memastikan peranti dapat berfungsi dengan lancar serta pantas. Kekurangan paling ketara ialah rekaan yang terlalu serupa dengan sebuah iPhone.

Meizu Pro 6 20160413_163258Sistem operasi yang digunakan ialah Android Marshmallow dengan pelancar Flyme OS. Ia pelancar yang kelihatan menarik tetapi melakukan perubahan yang drastik pada sistem navigasi Android yang biasa kami gunakan. Dengan harga jualan sekitar RM 1496, ianya sebuah peranti kelas tinggi yang mampu milik. Sekiranya pihak Meizu melancarkannya di Malaysia kelak, kami yakin ia pastinya memberikan persaingan kepada peranti utama lain di pasaran sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd