Opera merupakan pengeluar aplikasi mudah-alih yang popular, dimana mereka sedia menawarkan Opera Mini untuk Windows Phone, Android dan juga iOS. Namun, bergerak kehadapan, kini mereka mengumumkan akan mengurangkan fokus terhadap platform Windows Phone.
Menurut Opera, mereka menghentikan pembangunan sebarang fungsi baru untuk Opera Mini pada Windows Phone, serta pada masa yang sama mengalihkan jurutera mereka untuk membangunkan produk mereka di Android dan iOS.
Opera tidak menghentikan penawaran pelayar web mereka secara keseluruhannya, dan hanya sekadar mengatakan tiada sebarang kemaskini yang dirancang untuk bulan-bulan akan datang buat masa ini.
Ini mungkin kerana pengguna platform Windows Phone atau Windows 10 Mobile sendiri adalah semakin berkurangan dari hari ke hari, malah lebih ramai pembangun dan penyedia perkhidmatan telah mula mengurangkan penawaran kepada platform berkenaan.
Sebelum ini, penyedia perkhidmatan HERE telah menghentikan penawaran aplikasi mereka untuk Windows 10, dan mungkin lebih ramai akan menghentikan sokongan dan penawaran pada bulan-bulan akan datang.