Microsoft Menghentikan Pengeluaran Xbox 360

Microsoft Menghentikan Pengeluaran Xbox 360

Diterbitkan pada Apr 21, 2016 oleh .

Pada peperangan konsol generasi yang lalu, Xbox 360 dan PlayStation 3 berentap bermati-matian tetapi akur dengan dominasi Nintendo Wii. Xbox 360 berjaya dijual sebanyak 84 Juta unit, PlayStation 3 terjual melebihi 83 Juta unit dan Wii terjual melebihi 100 Juta unit. Di Eropah dan Amerika Syarikat, konsol buatan Microsoft ini mendapat sambutan yang lebih  menggalakkan. Microsoft hari ini menghentikan pengeluaran konsol Xbox 360 selepas mula dihasilkan hampir 11 tahun yang lalu.

Xbox 360 Baru

Microsoft berjanji akan meneruskan sokongan ke atas 360 selagi diperlukan. Jadi kepada pemilik 360, pengumuman hari ini tidak bermakna konsol anda tidak boleh lagi digunakan. Tawaran Games with Gold dan Deals with Gold juga diteruskan berserta pelayan permainan atas talian. Penghentian produksi ini adalah langkah mengurangkan kos dan menggalakkan pengguna membeli Xbox One. Konsol generasi terkini ini mampu memainkan permainan 360 tanpa sebarang masalah.

Apa yang kami rasakan menarik ialah penghentian produksi 360 hadir hanya beberapa bulan selepas ura-ura Xbox One dengan aksesori tambahan yang meningkatkan kemampuan memprosesnya mula didengari. Adakah ini bermakna ura-ura ini akan menjadi realiti sebagai langkah memastikan jenama Xbox tidak akan terancam dengan kemunculan PlayStation Neo kelak? Sama-sama kita nantikan.


TIPS & ULASAN