LG Gram 15 – Komputer Riba Nipis Daripada LG Akan Hadir Ke Malaysia
LG

LG Gram 15 – Komputer Riba Nipis Daripada LG Akan Hadir Ke Malaysia

Diterbitkan pada Apr 21, 2016 oleh .

LG telah memperkenalkan komputer riba paling nipis daripada mereka pada awal tahun 2016 ini untuk pasaran antarabangsa, dan terkini, LG Malaysia memperlihatkannya di Malaysia dan mengatakan ia bakal hadir tidak lama lagi. LG menyasarkan untuk menawarkannya sekitar bulan Jun ini, dan akan ditawarkan dalam dua variasi berbeza.

LG Gram

Dinamakan sebagai LG Gram 15 – ia hadir dengan skrin bersaiz 15.6-inci dengan paparan HD penuh. LG melengkapkan ia dengan pelbagai spesifikasi terkini, termasuk menggunakan cip Intel Core generasi ke-6, selain turut dilengkapi dengan port USB Type-C. Komputer riba ini menyertakan memori sebanyak 8GB RAM, serta hadir dengan storan berasaskan SSD sehingga 512GB.

LG Gram 15

LG Gram 15 ini menggunakan binaan berasaskan Magnesium Alloy, dan menawarkan masa bertahan bateri sehingga 7 jam. Walaupun memfokuskan kepada kenipisan, pihak LG masih dapat menyertakan papan kekunci bersaiz penuh padanya, disamping turut melengkapkan ia dengan numpad pada bahagian kanan papan kekunci.

Untuk sistem operasi, seperti kebanyakkan komputer riba lain di pasaran, LG Gram 15 dijana menggunakan sistem operasi Windows 10.

LG Gram 15 akan ditawarkan dalam dua variasi, iaitu menggunakan Intel Core i5 dan juga Intel Core i7. LG Malaysia mengatakan versi asas akan ditawarkan pada harga sekitar RM4,500, sementara versi Core i7 dengan harga RM6,700. Buat masa ini, ia hanya sekadar harga anggaran sahaja, dan harga jualan akhir masih tidak diketahui lagi.


TIPS & ULASAN