Cari @ Amanz

Disamping pengenalan Acer Switch Alpha 12, pihak Acer turut memperkenalkan kemaskini kepada komputer riba memfokuskan permainan daripada mereka, melalui Acer Predator 17X. Seperti biasa, ia hadir dengan pelbagai spesifikasi terkini, dan Acer mengatakan ia tersedia untuk sokongan realiti-maya melaluinya.

Acer Predator 17X

Acer Predator 17X hadir dengan skrin bersaiz 17.3-inci dengan sokongan resolusi sehingga 4K. Ia mengekalkan penggunaan rekaan yang tebal seperti komputer riba Predator 17 ini, dan hadir dengan tiga kipas untuk mempercepatkan penyejukan.

Acer Predator 17X ini turut dijana menggunakan cip Intel Core generasi ke-enam, dan dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 980. Pengguna juga turut boleh menyertakan memori sehingga 64GB RAM, selain sehingga tiga SSD didalamnya untuk menaik-taraf dan mengalami pengalaman penggunaan yang baik untuk anda memainkan pelbagai permainan dimana-mana anda pergi.

Walaubagaimanapun, dengan penyertaan pelbagai spesifikasi tinggi, ia turut membawa kepada sedikit kekurangan. Komputer riba ini kini hanya menawarkan masa penggunaan bateri sekitar 3 jam sahaja, jikalau dibandingkan dengan Predator 17 sebelum ini yang menawarkan masa penggunaan sehingga 5 jam.

Sekiranya anda inginkan komputer riba yang turut menyokong peranti realiti-maya yang kian hangat diperkatakan, mungkin ini adalah komputer riba yang anda nantikan. Disamping untuk para peminat permainan, Acer juga dilihat turut menyasarkan para pembangun melalui komputer riba Acer Predator 17X ini.

Dari segi harga, Acer meletakkan harga yang berbeza mengikut negara. Di Amerika Syarikat, ia berharga $2799 (~RM10,972). Memandangkan Acer sedia menawarkan peranti keluarga Predator di Malaysia, tidak mustahil untuk kita melihat komputer riba Acer Predator 17X ini turut memasuki pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd