Cari @ Amanz

Komputer riba berasaskan Chrome OS masih kurang penerimaannya dikalangan pengguna tempatan, apatah lagi dengan penawaran peranti berasaskan Windows 10 yang berharga rendah. Namun, ini tidak menghentikan pengeluar daripada menawarkan produk mereka dengan berasaskan Chrome OS.

Acer Chromebook 14

Terkini, Acer telah memperkenalkan Chromebook terbaru mereka, dinamakan sebagai Acer Chromebook 14 for Work. Dengan menyasarkan penggunaan dalam perusahaan atau perniagaan, ia menawarkan kuasa pemprosesan yang pantas berbanding kebanyakkan komputer riba berasaskan Chrome OS yang lain.

Acer Chromebook 14 hadir dengan cip pemprosesan Intel Core generasi ke enam dengan penawaran bateri sehingga 12 jam lamanya. Acer mengatakan ia turut menawarkan fungsi kalis tumpahan air, disamping pengguna boleh meletakkan kad nama dibawahnya. Untuk perusahaan yang ingin membuat tempahan banyak, mereka boleh turut mengubah rekaan kerangka luar mengikut identiti syarikat mereka.

Acer Chromebook 14 for Work turut hadir dengan sokongan USB Type-C dan juga pencahayaan pada papan kekunci.

Tiada harga yang dikongsikan, dan mungkin Acer lebih menyasarkan kepada perusahaan yang ingin membuat tempahan pukal untuk komputer riba ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd