Kelewatan dan penangguhan ialah dua perkara yang kurang kami gemari kerana ia membuatkan kami terpaksa menunggu. Tetapi sekiranya ia berlaku pada permainan komputer kami tidak berapa mengambil kisah kerana selalunya ia membawa kepada permainan yang lebih berkualiti. Kini giliran Mirror’s Edge Catalyst pula ditangguhkan. Pihak EA Dice hari ini mengesahkan permainan ini akan mengalami kelewatan selama dua minggu bagi memperhalusi mod atas talian dan multiplayer.
Ia kini hanya akan dijual pada 7 Jun di Amerika Syarikat dan 9 Jun di Eropah. Dengan penangguhan ini mereka berharap kesemua elemen sosial yang ingin mereka sertakan akan berfungsi seperti yang sepatutnya. Kepada yang ingin memainkan permainan ini pada platform PC, spesifikasi minimum dan yang disarankan telahpun kami laporkan beberapa hari yang lalu.