Google telah sedia menawarkan Android N Developer Preview untuk beberapa peranti Nexus di pasaran. Menariknya, kini Sony dan Google turut bekerjasama dalam membawa Android N Developer Preview untuk telefon pintar Xperia Z3.
Untuk makluman, Android N Developer Preview merupakan versi Android akan datang yang masih dalam pembangunan dan tidak begitu stabil sepenuhnya buat masa ini. Dengan menawarkan ia terlebih dahulu kepada beberapa peranti, ia membolehkan para pembangun untuk mengoptimasikan aplikasi mereka sebelum Android N dilancarkan secara rasminya.
Android N Developer Preview membawakan beberapa perkara baru, termasuk sokongan Multi-Windows, paparan notifikasi yang lebih tersusun, sokongan membalas terus pada notifikasi, dan lebih efisyen dari segi penggunaan bateri dan memori.
Bagi anda yang menggunakan telefon pintar Xperia Z3, anda boleh mencuba Android N Developer Preview pada peranti anda hari ini. Tetapi, seperti dinyatakan, ia masih tidak begitu stabil sepenuhnya. Jadi, jika anda hanya mempunyai Xperia Z3 sahaja dan tidak mempunyai peranti ganti, anda mungkin tidak ingin menggunakan Android N Developer Preview buat masa ini.