Cari @ Amanz

Pada beberapa minggu lalu sewaktu pelancaran kamera EOS 1D X Mark II yang dijual pada harga RM 25,299, pada acara yang sama juga Canon telah memperkenalkan kemaskini untuk siri EOS yang lain, siri Powershot, siri IXUS dan pencetak SELPHY.

Bagi siri EOS yang lain, mereka telah memperkenalkan EOS 80D yang kini dikuasakan oleh sensor pengimejan DIGIC 6 24.2 MP CMOS dengan kadar ISO sehingga 25,600. Ia turut dilengkapi dengan paparan skrin sentuh LCD yang boleh digunakan untuk mengubah titik pemfokusan sewaktu merakam video.

Canon - EOS - IMG_8472 Canon - EOS - IMG_8470

Satu lagi model EOS yang baru diperkenalkan adalah EOS 1300D yang hadir dengan cip pemprosesan DIGIC 4+ dan sensor pengimejan 18 MP CMOS. Model ini disasarkan untuk mereka yang baru bermula dalam fotografi professional DSLR dan menariknya fungsi khusus untuk merakamkan hidangan makanan turut disertakan pada model ini.

Siri PowerShot pula merupakan siri professional dalam bentuk kompak, dan. Canon telah memperkenalkan empat model dalam siri ini. Jika anda kurang menyukai DSLR berikutan saiznya namun memerlukan prestasi yang tinggi, PowerShot G7 X Mark II merupakan model dengan spesifikasi tertinggi untuk siri ini. Ia dilengkapi dengan cip pemprosesan DIGIC 7 dan sensor 20.1 MP CMOS bagi memberikan kualiti rakaman seumpama DLSR. Model ini akan memasuki pasaran tempatan selepas bulan Jun tahun ini.

Canon - PowerShot - IMG_8499

Tiga model PowerShot yang lain adalah SX720 HS, SX 540 HS dan juga SX 420 IS. Kesemua model ini dibezakan dengan jarak pemfokusan yang jauh memandangkan lensa kamera ini tidak boleh ditukar. PowerShot SX 540 HS pula boleh merakam video pada resolusi HD penuh 1080p pada kadar 60 fps yang membolehkan rakaman yang lebih cantik dilakukan. Salah satu fungsi menarik yang ditawarkan pada kesemua model PowerShot adalah ia boleh dihubungkan menerusi WiFi dan juga NFC. PowerShot SX 420 ID akan dijual pada harga RM 909, manakala SX 540 HS pada harga RM 1,499 dan SX 720 HS pada harga RM 1,459.

Canon - Ixus - IMG_8517

Bagi pasaran kamera point-and-shoot yang mudah digunakan, siri Ixus merupakan penawaran Canon untuk pengguna. Terdapat tiga model yang baru diperkenalkan iaitu Ixus 175, Ixus 180 dan juga Ixus 285 HS yang diperkuasakan oleh sensor pengimejan 20MP CCD dengan enjin DIGIC 4+. Ketiga-tiga model ini dibezakan dengan jarak pemfokusan yang terdapat pada lensa mereka, dengan model Ixus 285 HS mempunyai jarak pemfokusan sehingga 300mm. LCD yang terdapat pada Ixus 285 HS juga adalah lebih besar dan lebih jelas, pada saiz 3-inci. Kesemua kamera Ixus ini boleh dihubungkan menerusi Wi-Fi dan NFS dan ditawarkan pada harga rendah. Ixus 175 ditawarkan pada harga RM 399, manakala Ixus 180 pada harga RM 599 dan 285 HS pada harga RM 799.

Canon - Selphy - IMG_8513

Selain dari kamera, Canon juga merupakan jenama yang bergiat dalam industri percetakan. Mereka mempunyai pelbagai solusi untuknya dan pada acara ini telah mengetengahkan pencetak Selphy CP 1200. Pencetak bersaiz kecil dan mudah dibawa kemana-mana ini boleh mencetak menerusi sambungan WiFi dari peranti mahupun komputer, atau menerusi pilihan storan yang kerap digunakan seperti pemacu USB. Pencetak ini juga turut mempunyai paparan bagi memudahkan pengguna melihat gambar sebelum mencetak dan dijual pada harga RM 499.

Selain dari PowerShot G7 X Mark II, kesemua model ini telahpun tersedia di pasaran dan pengguna boleh mendapatkannya di pengedar rasmi kamera Canon ataupun di kedai kamera terkemuka dan juga kedai kelengkapan elektronik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd