Antaramuka Aplikasi YouTube Dikemaskini Bagi Menggalakkan Muat Naik Video

Antaramuka Aplikasi YouTube Dikemaskini Bagi Menggalakkan Muat Naik Video

Diterbitkan pada Apr 27, 2016 oleh .

YouTube ialah laman video paling popular di dunia dengan 3 Billion video ditonton setiap hari. Setiap seminit pula 500 jam video baru dimuat naik oleh pengguna. Jadi jelaslah terdapat banyak video yang boleh anda tonton menerusi YouTube. Kami secara peribadi gemar menggunakan YouTube sebagai sumber mendapatkan cara terbaik membaik pulih komputer, peranti dan peralatan rumah secara DIY. YouTube hari ini mengemaskini antaramuka aplikasi peranti pintar mereka bagi menggalakkan lebih banyak muat naik video dan memudahkan pengguna mencari kandungan yang ingin ditonton.

Youtube-Antaramuka-BaruPerubahan paling ketara ialah thumbnail yang lebih besar. Thumbnail beresolusi lebih tinggi ini membolehkan anda melihat apakah yang bakal ditonton dengan lebih jelas. Sebelum ini thumbnail yang disertakan pada aplikasi peranti pintar adalah terlalu kecil. Perubahan kedua ialah butang merakam video yang kini terpampang jelas pada sudut bawah sebelah kanan. Pengguna dapat merakam video dengan lebih pantas dan usai rakaman ia akan lebih mudah dimuat naik. Butang yang sama juga kelihatan pada laman profil pengguna. Kemas kini ini sudah boleh digunakan oleh kesemua pengguna Android dan iOS. Sila kemas kini aplikasi YouTube anda sekiranya anda masih belum menerimanya.


TIPS & ULASAN