Cari @ Amanz

Selain memperkenalkan Asus ROG GX700 untuk pasaran tempatan, Asus juga turut memperlihatkan secara ringkas sebuah desktop baru mereka yang bakal turut dijual di Malaysia tidak lama lagi, iaitu Asus ROG GT51.

Seperti produk Asus ROG (Republic of Gamers) yang lain, desktop ASUS ROG GT51 ini menyasarkan mereka yang inginkan kuasa grafik yang tinggi – terutamanya untuk permainan video mahupun untuk pembangunan multimedia.

Asus ROG GT51

Asus ROG GT51 hadir dengan sokongan sehingga dua kad grafik, dan dijana dengan cip pemprosesan Intel Core i7-6700K. Ini sekaligus membolehkan pengguna membuat overclocking menggunakannya, dan untuk memudahkannya pihak Asus turut membawakan sebuah gelang-tangan berasaskan NFC yang boleh membuat overclock apabila anda menyentuh bahagian tersebut pada desktop ini. Disamping itu, gelang tangan ini juga turut boleh digunakan untuk mengaktifkan Shadow Drive – sebuah partition yang tersembunyi pada komputer berkenaan.

Asus ROG GT51

Dengan kuasa pemprosesan tinggi yang ditawarkan juga, desktop ini menjadi salah satu desktop yang mesra realiti-maya – salah satu topik utama yang menjadi perbualan hangat hari ini. Sokongan baru lain seperti port USB Type-C 3.1 turut disertakan pada desktop ini untuk menjadikannya bersedia dengan pelbagai perubahan teknologi baru.

Asus Malaysia dijangka memasarkannya sekitar bulan Jun 2016 ini. Harga jualannya tidak diumumkan buat masa ini, tetapi dianggarkan sekitar RM10,000.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd