Dalam arena peranti mudah-alih, boleh dikatakan Intel agak ketinggalan jikalau dibandingkan dengan beberapa pengeluar lain seperti Qualcomm, MediaTek, Samsung, Huawei dan sebagainya. Mereka sebelum ini sedia menawarkan cip Intel Atom untuk beberapa pengeluar – namun ia boleh dikatakan tidak begitu popular dikalangan pengeluar dan pengguna berbanding yang lain.
Kini, bergerak kehadapan, Intel dilihat lebih memfokuskan kepada perniagaan yang lebih menguntungkan mereka – termasuk antaranya adalah perniagaan memfokuskan 5G, IoT dan sebagainya.
Disebabkan oleh itu, Intel akan membatalkan pembangunan dan pengeluaran platform Broxton dan SoFIA – dimana secara tidak langsung membatalkan sebahagian keluarga Intel Atom X3 untuk telefon pintar dan tablet.
Pengumuman terbaru ini juga hadir selepas Intel mengumumkan akan menghentikan sejumlah pekerja mereka. Ada baiknya juga mereka memfokuskan kepada kelebihan dan kepakaran mereka dalam mengukuhkan kedudukan syarikat terlebih dahulu sebelum kembali ke arena peranti mudah-alih.
Mungkin perkara ini telah dirancang lama oleh Intel, apatah lagi pada Mobile World Congress yang lepas sendiri, kita telah sedia melihat Intel lebih memfokuskan berkenaan topik IoT dan 5G berbanding cip pemprosesan mudah-alih mereka.