Sekitar Acara Hackathon AWS-IoT Di Singapura

Sekitar Acara Hackathon AWS-IoT Di Singapura

Diterbitkan pada Mei 2, 2016 oleh .

Pada minggu lepas, selain dari pengumuman perkhidmatan Amazon Web Services (AWS) yang kini turut menyertakan komponen khusus untuk peranti berhubung (IoT – Internet of Things), pihak mereka turut menganjurkan hackathon ringkas untuk memanfaatkan perkhidmatan AWS-IoT. Melaluinya, kumpulan yang menyertai hackathon ini perlu mencipta solusi berdasarkan perkhidmatan AWS dan juga komponen elektronik khusus untuk peranti berhubung.

Komponen elektronik untuk kegunaan kesemua peserta telah disediakan oleh Intel, SEED, dan pelbagai lagi. Sebanyak 16 kumpulan telah menyertainya, dimana 14 kumpulan dari Singapura, satu kumpulan dari Malaysia dan juga satu kumpulan dari Thailand. Apa yang dihasilkan oleh kesemua mereka ini adalah lebih kepada konsep, dan bukan produk akhir. Kebanyakan mereka menyiapkan projek dalam bentuk miniatur bagi menunjukkan bagaimana ia berfungsi.

Anicorn – Sensor Pintar Penghawa Dingin

AWS IoT Hack - IMG_8786

Kumpulan ini telah mencipta solusi untuk mesin penghawa dingin. Mereka telah mendemonstrasikan bagaimana penghawa dingin dapat dikawal menerusi perkhidmatan AWS dan turut memanfaatkan arahan suara menggunakan Amazon Alexa. Pengguna juga dapat membuka dan menutup tingkap, sesuai dengan tahap suhu didalam dan diluar rumah.

Razer Riot – Jaket Pintar

AWS IoT Hack - IMG_8820

Peserta yang menyertai hackathon ini terdiri dari pelbagai bidang malah, dari industri sekalipun. Syarikat yang terkenal dengan produk memfokuskan E-sukan iaitu Razer telah menghantar pekerja mereka menyertai acara ini. Mereka telah menghasilkan baju jaket pintar yang dapat mengesan tahap UV sinar matahari, dan mengesan suhu badan si pemakai jaket. Jaket ini juga dilengkapi dengan lampu LED yang boleh diubah warnanya mengikut arahan suara si pemakai.

How Now Brown Cows – Bekas Ubat Pintar

AWS IoT Hack - IMG_8821

Bagi pesakit yang perlu mengambil ubat-ubatan pada tempoh tertentu, adalah penting untuk memastikan mereka tidak terlepas dari mengambil ubat. Kumpulan ini mencipta kotak ubat yang boleh membantu pesakit mengambil ubat pada waktu yang ditetapkan menggunakan pelekat hiasan yang mempunyai isyarat Bluetooth Low Energy. Notifikasi akan dihantar kepada pesakit dan juga doktor.

Transponders – Membolehkan Penumpang Menghubungi Pemandu Bas

AWS IoT Hack - IMG_8826

Bagi pemandu bas, menepati jadual adalah salah satu rukun yang wajib diikuti mereka. Namun apabila terdapat beberapa penumpang yang terlepas bas kerana lewat, ia sedikit sebanyak menimbulkan dilema bagi pemandu. Solusi ini membolehkan pemandu bas mengetahui berapa ramai penumpang yang sedang menuju kearah hentian bas dan membolehkan pemandu menjangka masa. Pengguna pula boleh meminta bas berhenti, dimana dengan satu butang, notifikasi akan dihantar kepada pemandu bas.

The Fellowship – Penyiram Tumbuhan Automatik

AWS IoT Hack - IMG_8841

Kumpulan yang terdiri dari pekerja Zalora ini telah mencipta solusi untuk membantu pertumbuhan pokok. Menggunakan Intel Edison beserta komponen yang boleh mengesan tahap kelembapan, solusi ini mengetahui status tumbuhan tersebut dan akan menyiramnya mengikut statusnya atau mengikut jadual yang telah ditetapkan pengguna. Pasukan ini telah mendapat tempat ketiga pada hackathon ini dan menerima 1,000 kredit AWS.

Fighting Mongoose – Permainan Mematikan Bom

AWS IoT Hack - IMG_8847

Salah satu projek paling menarik di hackathon ini adalah permainan mematikan bom. Menggunakan empat papan litar IoT yang disediakan AWS, permainan ini memerlukan pengguna memotong wayar yang betul dan menekan butang yang tepat dalam masa yang diberikan bagi mematikan bom. Mereka telah mempamerkan bagaimana empat papan litar yang berbeza dapat berkomunikasi dengan perkhidmatan AWS.

Reefer Connect – Kontena Pintar

AWS IoT Hack - IMG_8836

Dalam pelbagai kumpulan, kumpulan ini dilihat telah mencipta solusi bertaraf perusahaan besar. Dalam industri pengangkutan kontena, sekuriti adalah salah satu kunci utama. Kumpulan ini telah mencipta solusi dimana kontena dilengkapi dengan sensor lokasi, membolehkan maklumat berkenaan kontena dipantau oleh pemilik kontena tersebut. Bagi menjanjikan sekuriti, hanya penerima kontena tersebut dapat membukanya menerusi kawalan suara dan verifikasi internet.

Nutrunners – Alat Bantu Menukang

AWS IoT Hack - IMG_8797

Satu lagi kumpulan yang memfokuskan perusahaan adalah Nutjobs. Mereka telah hadir dengan solusi dalam industri pertukangan. Menggunakan pemutar elektrik yang boleh berhubung dengan internet, pengguna dapat menggunakan kekuatan yang tepat dalam mengetatkan skru pada sesuatu produk. Malah, tatacara teknikal juga dapat dipaparkan pada peranti realiti-maya. Kumpulan ini memenangi hadiah utama pada hackathon ini.

NYPS4 – Kenalpasti Kawasan Padat

AWS IoT Hack - IMG_8850

Selain dari peserta yang terdiri dari pekerja syarikat dan juga perusahaan industri, acara hackathon sebegini turut disertai pelajar muda. Kumpulan ini telah mencipta pengesan pergerakan menggunakan papan litar Intel Edison yang mengira jumlah pengguna yang menggunakan sesuatu jalan. Manfaat ciptaan ini adalah ia merupakan satu sistem yang menggalakkan orang umum untuk berjalan.

IOTiger (Malaysia) – Papan Iklan Pintar

AWS IoT Hack - IMG_8855

Satu-satunya kumpulan dari Malaysia adalah IOTiger yang terdiri dari pekerja Bahagian Inovasi Maybank. Mereka telah mencipta papan iklan pintar yang boleh mengesan keadaan cuaca,suhu dan masa. Sebagai contoh sekiranya cuaca sedang panas terik, iklan kedai yang menjual jus buah akan dipaparkan dan sekiranya sedang hujan, papan iklan akan memaparkan iklan yang menjemput pengguna untuk menikmati secawan coklat panas. Kumpulan ini memenangi tempat kedua hackathon ini.

Green – Sistem Rumah Pintar Dengan Gamification

AWS IoT Hack - IMG_8803

Sekumpulan pelajar universiti di Singapura telah mencipta solusi pemantauan penggunaan elektrik dengan elemen gamification. Menurut mereka, dengan gamification ia akan dapat memotivasikan pengguna dapat bersaing antara satu sama lain dalam memastikan penjimatan tenaga. Akan terdapat carta dan notifikasi mengenai prestasi mereka.

Cognizant Analytics – Sistem Agrikultur Pintar

AWS IoT Hack - IMG_8857

Selain dari solusi untuk tanaman yang dibawakan oleh kumpulan pekerja dari Zalora, kumpulan ini turut membawakan solusi sama namun memfokuskan kepada petani di India. Menurut mereka, petani di India menghadapi tekanan untuk memastikan tanaman mereka berjaya, dan sekiranya gagal, petani tersebut akan menamatkan riwayat mereka. Bagi mengurangkan kejadian sebegini, cip yang mengesan situasi tanaman akan membantu petani dalam mengesan tahap kelembapan serta nutrisi pada tumbuhan menggunakan AWS.

CraftIO (Thailand) – Tempat Letak Kereta Pintar

AWS IoT Hack - IMG_8863

Kumpulan terakhir yang mempersembahkan projek mereka pada hackathon ini adalah kumpulan yang berasal dari Thailand. Mereka telah membawakan solusi tempat letak kereta pintar, dimana setiap ruang letak kereta akan diletakkan paparan skrin yang memaparkan status tempat tersebut sama ada telah ditempah atau tersedia untuk digunakan. Nombor plat kenderaan akan dipaparkan sekiranya terdapat pengguna yang telah menempah tempat tersebut.


Kesemua peserta membawa pulang papan litar pintar yang disediakan pada acara ini beserta 100 USD kredit AWS, dan terdapat tiga pemenang berdasarkan solusi yang dibawakan. Tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan The Fellowship yang menerima 1,000 USD kredit AWS dan tempat kedua dimenangi oleh kumpulan IOTiger yang menerima 1,500 USD kredit AWS. Tempat pertama dimenangi oleh Nutrunner, yang menerima 2,000 USD kredit AWS dan juga peranti Amazon Echo untuk setiap peserta.

AWS IoT Hack - IMG_8874

Baca: Komponen Perkhidmatan AWS-IoT


TIPS & ULASAN