Dishonored 2, sambungan kepada Dishonored disahkan akan menemui peminat 11 November hadapan. Ini berita yang pastinya diterima baik oleh peminat permainan pandang pertama ini sejak trailer kewujudannya diperlihatkan tahun lalu. Kali ini cerita Dishonored bersambung ke Karnaca, tempat kelahiran Corvo Attano. Pemain boleh memilih untuk bermain sebagai Corvo ataupun anak beliau Emily Kaldwin.
Kedua-dua watak mempunyai set kuasa dan kemampuan berbeza bagi memberikan pengalaman permainan yang berbeza. Bathesda merancang memperlihatkan trailer terkini permainan unik ni di majlis E3 yang bakal berlangsung 12 Jun hadapan di Los Angeles. Kami cukup meminati Dishonored kerana ia membenarkan pemain menghabiskan permainan tanpa perlu membunuh sebarang musuh. Tambahan lagi kombinasi teknologi steampunk dan sihir memberikan keunikan berbanding permainan FPS lain yang mementingkan penggunaan senjata. Pengakhiran ceritanya juga berbeza bergantung kepada setiap keputusan penting yang diambil oleh Corvo dalam menangani musuh beliau. Dishonored 2 bakal hadir pada PlayStation 4, Xbox One dan PC.