Facebook membuka pejabat di Malaysia hari ini bagi mendekatkan pemilik perniagaan dan pengguna laman mereka. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, pengguna di Malaysia adalah yang paling “ketagih” di rantau Asia Tenggara dengan menghabiskan secara purata 187 minit sehari melayari Facebook. Serampang tiga mata Facebook, WhatsApp dan Instagram akan menjadi platform yang penting untuk melakukan perniagaan sekarang. Kepentingan dan pergantungan kepada perkhidmatan ini akan semakin bertambah selepas Instagram diberikan rekaan khas untuk pemilik perniagaan.
Antaramuka khas untuk pemilik perniagaan kini sedang diuji. Terdapat butang contact yang membolehkan pengguna berhubung menerusi emel kepada peniaga terus dari profil Instagram. Menerusi butang yang sama terdapat pilihan untuk mendapat arahan pemanduan ke kedai fizikal perniagaan tersebut. Kepada pemilik Instashop ini adalah fungsi yang mereka mahukan untuk sekian lama kerana menaip alamat emel dan alamat perniagaan profil adalah kurang intuitif kepada pengguna. Dengan integrasi secara terus, ia akan mengurangkan langkah buat pengguna untuk melawat kedai sekaligus meningkatkan jumlah jualan.