VIV – Pembantu Maya Dari Pencipta Siri Akan Diperlihatkan Minggu Hadapan

VIV – Pembantu Maya Dari Pencipta Siri Akan Diperlihatkan Minggu Hadapan

Diterbitkan pada Mei 5, 2016 oleh .

Bila bercakap tentang pembantu maya, Siri mungkin adalah yang paling dikenali ramai. Ia kali pertama diperlihatkan pada iPhone 4S pada tahun 2011. Sejak dari hari itu pelbagai penambahbaikan dan fungsi baru diperlihatkan. Namun ini masih belum mencukupi bagi Dag Kittlaus dan Adam Cheyer yang bertanggungjawab membangunkan Siri. Menurut mereka Siri yang wujud sekarang adalah jauh di belakang dari visi asal mereka sebelum dibeli oleh Apple.

VIV pembantu maya 2Oleh sebab itu mereka menghasilkan VIV, pembantu maya yang benar-benar pintar untuk mendengar arahan pengguna. Melalui VIV pengguna boleh memesan makanan seperti Pizza tanpa perlu melakukan panggilan telefon ataupun menggunakan aplikasi khas. Sekiranya lapar hanya arahkan VIV untuk memesan pizza dari restoran yang paling hampir menggunakan kawalan suara. Ia kemudian akan bertanya jenis pizza dan saiz apakah yang diinginkan. Pelbagai arahan tambahan boleh diberikan bagi membolehkan anda mendapatkan pizza yang benar-benar diingini. Selepas selesai pesanan akan dilakukan sendiri oleh VIV bagi pihak anda.

VIV akan diperlihatkan secara rasmi Isnin minggu hadapan dan telahpun menolak tawaran pembelian dari Google dan Facebook. Agak mengejutkan kesemua fungsi ini telah wujud sejak Siri dibeli oleh Apple. Ia tidak dilaksanakan kerana tidak selari dengan visi pembantu maya yang diinginkan oleh Steve Jobs. Ini mendorong Dag Kittlaus dan Adam Cheyer untuk meninggalkan Apple bersama 1/3 warga kerja yang membangunkan Siri.

Kemampuan sebenar VIV hanya akan diketahui minggu hadapan. Sebagai pengguna tegar pembantu maya, kami mahu melihat evolusi seterusnya yang akan membuatkannya benar-benar pintar.


TIPS & ULASAN