Cari @ Amanz

Huawei hari ini secara rasminya telah mengumumkan penawaran telefon pintar Huawei P9 untuk pasaran Asia Pasifik, terutamanya Malaysia. Seperti biasa, bersama-sama dengan pengumuman rasmi, pihak Huawei turut memperlihatkan telefon pintar flagship mereka untuk tahun 2016 ini yang bakal dijual di Malaysia sekitar penghujung Mei 2016 atau awal Jun 2016.

Siri-P daripada Huawei merupakan salah satu keluarga peranti yang memfokuskan kepada rekaan dan menawarkan kualiti rakaman gambar yang baik. Saya sendiri telah menggunakan telefon pintar Huawei P1 untuk suatu tempoh yang lama – dimana ia merupakan peranti pertama daripada Huawei yang hadir dengan rekaan kemas, serta menggunakan antaramuka natif Android tanpa sebarang penambahan drastik.

Namun, Huawei telah membuat perubahan penggunaan antaramuka sejak daripadanya, dan bermula Huawei P6, mereka telah hadir dengan rekaan yang lebih premium dan memfokuskan beberapa fungsi khusus untuknya melalui antaramuka EMUI. Huawei P8 pada tahun lepas telah menerima pujian ramai disebabkan oleh rekaan premium padanya, dan pada Huawei P9, gergasi telekomunikasi dari China ini meneruskan tradisi mereka.

Huawei P9

Huawei P9 hadir dengan rekaan yang mengekalkan elemen keluarga peranti Huawei lain. Huawei P9 kini menggunakan kaca 2.5D, yang menawarkan rekaan melengkung sedikit pada bahagian tepi – menjadikan peranti ini sangat selesa dipegang pada tangan jikalau dibandingkan dengan Huawei P8 sebelum ini. Daripada percubaan ringkas saya, telefon pintar ini dilihat sangat selesa pada tangan, namun ada kalanya saya rasakan ia seperti sedikit licin dan mudah tergelincir daripada tangan.

Daripada segi spesifikasi, Huawei P9 hadir dengan skrin bersaiz 5.2-inci dengan paparan HD penuh. Huawei menggunakan cip pemprosesan yang dibangunkan oleh anak syarikat mereka, iaitu HiSilicon. Huawei P9 menggunakan cip pemprosesan terkini daripada Kirin, iaitu Kirin 955 – sekaligus menawarkan kuasa pemprosesan dan grafik yang lebih baik berbanding Huawei P8.

Dari segi memori, Huawei P9 hadir dalam dua variasi. Yang pertama menggunakan memori 3GB RAM dengan 32GB storan, sementara satu lagi hadir dengan memori 4GB RAM dengan 64GB storan. Selain daripada perbezaan pada memori dan storan, pelbagai perkara lain yang ditawarkan adalah lebih kurang sama.

Huawei P9 turut menggunakan sokongan dwi-SIM, salah satu fungsi yang mungkin digemari sejumlah besar pengguna di Asia, mahupun mereka yang sering mengembara atau melancong ke luar negara. Namun, SIM yang digunakan adalah berbentuk hibrid. Ini bermakna, untuk SIM kedua, pengguna boleh memilih untuk memperluaskan ruangan storan menggunakan mikro-SD ataupun menggunakan kad SIM sahaja.

Huawei P9 menggunakan bateri berkapasiti 3000mAh. Beberapa pengguna yang telah menggunakannya untuk beberapa hari mengatakan penawaran bateri pada telefon pintar ini adalah baik. Mungkin pihak Huawei telah berjaya mengetahui resipi untuk menjadikan masa penggunaan bateri mereka untuk bertahan lebih lama sejak daripada Huawei Mate 8 sebelum ini. Huawei P9 menggunakan sokongan pengecasan berasaskan port USB Type-C – sama seperti pada Huawei Nexus 6P sebelum ini.

Huawei P9

Bercakap mengenai Huawei P9, semestinya apa yang ramai ingin tahu adalah berkenaan dengan kamera. Huawei P9 merupakan telefon pintar pertama hasil kerjasama dengan pihak Leica. Dengan kerjasama ini, ramai yang menantikan kualiti kamera yang sangat baik – apatah lagi dengan harga kamera Leica yang sangat mahal untuk pengguna biasa.

Teknologi kamera Leica diintegrasikan pada dwi-kamera belakang 12-megapixel. Kamera pertama digunakan sebagai sensor untuk merakamkan gambar bergambar seperti biasa, sementara kamera kedua pula adalah sensor monochrome yang merakamkan gambar dalam warna hitam dan putih. Ini sekaligus menjadikan rakaman hitam putih lebih cantik, selain memberikan lebih kuasa kepada Huawei P9 untuk memproses apa yang dirakamkan dan menghasilkan gambar yang cantik.

Disamping itu, pelbagai mod rakaman juga disediakan untuk membolehkan pengguna merakamkan gambar mengikut keadaan dan kaedah yang cantik. Huawei P9 turut menyertakan kebolehan rakaman gambar menyeluruh dan memberikan anda kebebasan untuk mengubah fokus pada gambar dikemudian masa.

Pada aplikasi kamera di Huawei P9 juga, mereka menggunakan bentuk tulisan seumpama yang terdapat pada kamera Leica, disamping menyertakan tiga pilihan rakaman – iaitu Standard, Vivid, dan juga Smooth Colors. Mod rakaman Monochrome turut disediakan untuk membolehkan anda merakamkan gambar hitam dan putih dengan cantik menggunakannya. Fungsi lain seperti pada telefon pintar Huawei dikekalkan, termasuk HDR, Time-Lapse, Slow-Mo, dan kebolehan mengimbas dokumen.

Daripada percubaan ringkas kami, ia memperlihatkan hasil rakaman yang cantik dan menyerupai warna asal tanpa sebarang penambahan warna drastik seperti beberapa peranti lain. Mod rakaman Professional juga turut memberikan kawalan tambahan kepada pengguna, termasuk kebolehan menyimpa gambar dalam format RAW. Kami tidak berkesempatan untuk mencubanya pada keadaan cahaya malap, dan mungkin hanya akan dapat melakukannya pada ulasan penuh kelak.

[amanz-gallery]

Secara keseluruhan, telefon pintar ini kelihatan agak menarik, dan tidak mustahil ramai yang mendapatkannya disebabkan oleh penjenamaan kamera Leica. Huawei juga mungkin meletakkan harga yang agak kompetitif dalam membolehkan mereka memenangi pasaran peranti mudah-alih yang semakin dipenuhi pelbagai variasi telefon pintar dari hari ke hari.

Di Malaysia, Huawei dijangka memperkenalkannya sekitar penghujung Mei 2016 ini, dan mungkin kita akan mendengar lanjut mengenai harga dan tarikh mula jualannya pada acara pelancaran tempatan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd