Passion Republic – Syarikat Tempatan Yang Membantu Menghasilkan Uncharted 4

Passion Republic – Syarikat Tempatan Yang Membantu Menghasilkan Uncharted 4

Diterbitkan pada Mei 9, 2016 oleh .

Tinggal sehari sahaja lagi sebelum Uncharted 4 A Thief’s End akan mula dijual. Berapa rami di antara pembaca setia Amanz yang sudah melakukan pra-tempahan dan mengambil “cuti sakit” untuk permainan paling dinantikan ini?  Dari beberapa ulasan awal yang kami baca setakat ini, Uncharted 4 adalah yang terbaik di dalam siri ini dan memaparkan kualiti grafik yang amat mengagumkan. Tetapi tahukah anda ia mungkin akan mengalami lebih banyak kelewatan sekiranya Naughty Dog tidak menerima bantuan dari Passion Republic, sebuah studio milik anak watan?

Siapakah Passion Republic?

Passion Republic 1Siapakah mereka dan bagaimana mereka boleh terlibat dalam penghasilan permainan blockbuster ini? Passion Republic ialah sebuah studio penghasilan animasi dan permainan video yang memulakan kehidupan sebagai studio animasi 3D. Bermula dari menghasilkan animasi 3D lampin bayi untuk iklan, mereka kemudian terlibat dengan penghasilan animasi serta animasi untuk Gears of War Ultimate Edition, Battleship, Mortal Kombat X, Batman Arkham Knight, The Order 1886, Dark Souls 3 dan kini Uncharted 4.

Bagaimanakah sebuah studio animasi pengiklanan boleh berubah menjadi sebuah studio animasi dan permainan video?  Semuanya bermula dengan projek sampingan untuk menghasilkan animasi untuk permainan video. Usaha mereka kemudian mendapat perhatian Double Helix Games dan mereka mendapat kontrak menghasilkan animasi sinematik untuk permainan Battleship pada tahun 2012.

Passion-Republic-2a

Bertitik tolak dari Batlleship, pelbagai projek mula diterima oleh Passion Republic dengan The Order 1886 dan Dark Souls 3 menjadi dua projek terbesar yang menerima sentuhan mereka. Selain video animasi, mereka turut terlibat dengan penghasilan model 3D watak sampingan, model bangunan dan pelbagai aset 3D tambahan kedua-dua permainan di atas.  Kemampuan mereka menghasilkan aset 3D dengan baik membuka pintu kepada projek mereka dengan Naughty Dog.

Uncharted 4 Memerlukan Bantuan!

Sekiranya studio besar mempunyai masalah tenaga kerja dan kekurangan masa, studio seperti Passion Republic akan dicari untuk meringankan beban kerja. Di dalam kes Uncharted 4, aset 3D untuk untuk pelbagai harta karun (Treasure) yang boleh dicari pemain masih belum dihasilkan. Pihak Sony pada waktu ini sudah mengenali Passion Republic menerusi usaha sama mereka menghasilkan The Order 1886. Tawaran diberikan untuk menghasilkan hampir 100 aset 3D untuk harta karun. Masa yang diberikan ialah hanya 6 minggu!

Passion-Republic-4

Masa yang diberikan adalah amat singkat dan Passion Republic tidak berapa arif dengan sistem yang digunakan oleh Naughty Dog. Tetapi ini ialah peluang besar untuk bekerjasama dengan studio yang cukup terkenal dan menghasilkan sebuah permainan AAA blockbuster. Seperti kata Barney Stinson, “Cabaran Diterima!” dan kesemua tugasan yang diberikan berjaya disiapkan mengikut masa. Malahan kagum dengan kemampuan dan kualiti kerja mereka, Naughty Dog menambah kerja dan memanjangkan tempoh masa kepada 9 minggu.

Apabila ditanya apakah projek yang sedang dibangunkan oleh mereka pihak Passion Republic enggan mendedahkannya. Tetapi jika dilihat track record mereka sejak kebelakangan ini, kami tidak akan terkejut sekiranya mereka akan terlibat dengan beberapa lagi permainan AAA yang bakal dimainkan oleh kita di masa hadapan.

Jadi esok 10 Mei, ketika anda sedang asyik menembak musuh, memanjat kota kara, memandu jip di Madagascar dan menikmati pengembaraan terakhir Nathan Drake, jangan lupa bahawa terdapat sentuhan Malaysia di dalam permainan ini.


TIPS & ULASAN