Kerja sebagai pelayan restoran ialah antara kerja yang masih dilakukan oleh manusia. Kita lebih selesa berurusan dengan manusia kerana lebih arif dengan menu yang ditawarkan di restoran. Di sebuah restoran Kentucky Fried Chicken di Shanghai, kerja mudah ini kini diambil robot dengan kecerdasan buatan. Robot dengan nama panggilan Dumi ini dapat mengambil pesanan yang dilakukan dengan kawalan suara pelanggan.
Dumi dihasilkan oleh KFC dengan kerjasama Baidu. Ia menggunakan teknologi kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh Baidu sejak sepuluh tahun yang lalu. Restoran yang dibuka ini ialah restoran konsep yang mencuba teknologi baru bagi menarik minat pelanggan yang lebih muda dan pintar teknologi. Robot ini cukup pintar untuk menerima pesanan dalam bahasa Mandarin.Selain robot kecerdasan buatan, terdapat meja dengan pengecas tanpa wayar terbina.
Menggunakan teknologi terkini ialah strategi yang digunakan restoran makanan segera untuk kekal relevan. Di United Kingdom, McDonald’s kini menyediakan tablet Samsung pada setiap meja dengan capaian Internet percuma. Dengan penggunaan robot seperti Dumi, di masa hadapan kerja sebagai pelayan mungkin tidak lagi dilakukan oleh manusia. Ini ialah antara 5 juta pekerjaan yang akan pupus untuk manusia menjelang 2020.