WhatsApp Bakal Menambah Sokongan Panggilan Video Dan Peti Suara Tidak Lama Lagi

WhatsApp Bakal Menambah Sokongan Panggilan Video Dan Peti Suara Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Mei 9, 2016 oleh .

WhatsApp telah diperkatakan sejak daripada penghujung tahun lepas yang mana mereka bakal hadir dengan sokongan panggilan video. Kini, melalui ujian beta aplikasi berkenaan pada Android dan iOS, beberapa kod baru hadir memperlihatkan sokongan tersebut bakal hadir tidak lama lagi.

Disamping pada aplikasi beta WhatsApp, terma panggilan video dan juga peti suara turut kelihatan untuk diterjemahkan kepada bahasa lain – yang mana biasanya pihak WhatsApp menggunakan khidmat pekerja bebas untuk melakukannya.

WhatsApp Video

Panggilan video merupakan salah satu arena yang dilihat oleh pelbagai penyedia perkhidmatan permesejan. Dengan akses internet yang lebih pantas dan murah dari hari ke hari, ia memperlihatkan lebih ramai mampu membuat panggilan video dan berhubung dengan lebih dekat bersama rakan-rakan lain. Malah, dengan fokus pihak WhatsApp terhadap perusahaan pada tahun ini, ia semestinya salah satu fungsi yang akan menjadi fokus utama mereka.

Disamping panggilan video, WhatsApp juga dilihat sedang membangunkan fungsi peti suara. Seperti ramai sedia maklum, WhatsApp telah memperkenalkan sokongan panggilan suara sebelum ini – namun ia tidak memberikan petanda sekiranya pemanggil tidak dapat dicapai atau sebaliknya. Melalui peti suara ini, ia akan berfungsi seumpama penghantaran audio yang sedia terbina di WhatsApp, tetapi ia akan dapat dilakukan serta-merta ketika anda membuat panggilan dan pemanggil tidak dapat dicapai ketika itu.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah kedua-dua fungsi ini akan diperkenalkan secara rasminya. Mungkin kita akan dapat melihat ujian dilakukan oleh pihak WhatsApp dalam beberapa bulan lagi.


TIPS & ULASAN