Carian
DHL Menguji Sistem Dron Yang Tidak Memerlukan Sebarang Bantuan Manusia
May 11, 2016 Effi Saharudin

Sistem penghantaran barangan menggunakan dron kini telah diuji oleh pelbagai syarikat penghantaran barang. Amazon sedang menguji dron Prime Air Delivery mereka dan begitu juga dengan Singapore Post. Di Malaysia sistem dron mungkin akan digunakan untuk menghantar bekalan kecemasan kepada mangsa banjir. Kesemua sistem yang kami sebutkan ini masih memerlukan bantuan manusia untuk membolehkannya berfungsi.

dhl-parcelcopter-2

DHL sudah berjaya menguji dron Parcelcopter 3.0 mereka yang mampu menghantar barangan tanpa sebarang bantuan manusia. Ia diuji dari Januari sehingga Mac di Jerman untuk menghantar barangan yang dipesan menerusi DHL. Bandar Reit im Winkl  dipilih kerana ia terletak 1200 meter di atas permukaan laut dengan keadaan cuaca yang sejuk. Sekiranya Parcelcopter 3.0 dapat melepasi ujian cuaca yang ekstrem ini, ia pastinya boleh digunapakai dengan lebih meluas.

Parcelcopter 3.0 mampu terbang menegak sebelum sayap berputar dan ia terbang seperti pesawat biasa. Ia mampu bergerak sejauh 8.3 kilometer pada kelajuan 70 km/j dengan berat kargo maksimum 2.2 kilogram. Setibanya di destinasi, dron akan mendarat di SkyPort sebelum barangan akan dimasukkan ke dalam kotak khas yang kemudian dinyahkunci menggunakan kod khas yang diberikan kepada penerima. Barangan juga boleh dihantar menggunakan kotak khas dan dimasukkan ke dalam ruangan kargo Parcelcopter 3.0 secara automatik. Dengan menggunakan sistem ini, penghantaran barang hanya mengambil masa 8 minit berbanding 30 minit sekiranya dihantar menggunakan van DHL biasa.

Komen