Xiaomi sedia terkenal dengan gelang tangan pintar mereka pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pelbagai pesaing lain, iaitu Mi Band. Peranti tersebut juga telah membantu mereka mengukuhkan kedudukan dalam arena gelang tangan pintar berbanding pelbagai pengeluar lain.
Kini, Honor, jenama anak syarikat Huawei turut dilihat ingin bersaing dengan lebih aktif dalam arena sama, dan telah memperkenalkan Honor Band A1.
Gelang tangan pintar Honor Band A1 ini berharga bermula RMB99 (~RM61) yang mana mungkin membuat ramai pengguna untuk memilih dan mendapatkannya kerana harga tawaran yang jauh lebih rendah berbanding pelbagai gelang tangan pintar lain di pasaran.
Honor Band A1 ini hadir dengan sokongan lampu LED untuk notifikasi panggilan dan SMS, selain turut hadir dengan sensor UV secara terbina. Seperti gelang tangan lain, ia turut boleh memantau aktiviti seperti berlari, berjalan atau menunggang basikal. Pengguna turut boleh menggunakannya dalam memantau aktiviti dan gaya tidur mereka.
Honor Band A1 menggunakan sokongan mikro-USB untuk pengecasan dan mampu bertahan sehingga 28 hari penggunaannya.
Ia akan mula dijual di China terlebih dahulu, dan mungkin sekiranya berpeluang, kita akan turut dapat melihatnya ditawarkan di pasaran tempatan. Mungkin juga harga jualannya adalah berbeza untuk pasaran Malaysia kelak disebabkan oleh kadar tukaran mata wang asing.