Selain peranti keluarga Galaxy S, peranti keluarga Galaxy Note juga dianggap sebagai peranti utama oleh Samsung. Perbezaan kedua-dua peranti hanyalah dari segi saiz skrin dan kewujudan stylus S-Pen. Sejak pengenalannya pada tahun 2010, Galaxy Note sering dianggap sebagai raja phablet kerana mempunyai spesifikasi terbaik, pelbagai fungsi tambahan eksklusif dan rekaan yang terbaik di dalam kelasnya. Note juga bertanggungjawab ke atas trend pengeluaran peranti berskrin besar yang kini semakin popular di pasaran.
Selepas Galaxy S7 dilancarkan, ura-ura mengenai Note 6 sudah mula kedengaran. Tahun ini ura-ura mengatakan Note 6 akan dilancarkan pada penghujung bulan Julai dan mula dijual pada bulan Ogos. Note 6 mungkin membawakan sedikit perbezaan berbanding apa yang pernah dilakukan Samsung sebelum ini. Ia dikhabarkan akan menggunakan pemproses Snapdragon 823 yang baru dari Qualcomm. Biasanya peranti Note akan menggunakan pemproses yang sama dengan peranti Galaxy S. Galaxy S7 diperkasakan oleh Snapdragon 820 atau Exynos 8890. Selain daripada itu wujud juga ura-ura Note 6 akan mempunyai RAM sebesar 6 Gigabyte dan Note 6 Lite dengan spesifikasi lebih rendah dari versi standard.