Carian
MSI Melancarkan Vortex & GT72 Dominator Pro G Tobii – Dengan Pengesan Gerakan Mata
May 12, 2016 Ikhwan Nazri

MSI dilihat tampak agresif dalam memperkenalkan pelbagai komputer yang memfokuskan dunia permainan. Pada hari ini mereka telah mengumumkan penjualan dua komputer terkini yang direka bagi memenuhi keperluan peminat permainan iaitu GT72S Dominator Pro G Tobii dan juga komputer desktop yang mempunyai rekaan seumpama Mac Pro, iaitu Vortex G65.

Komputer riba GT72S Dominator Pro G Tobii membawakan satu kelainan dimana ia mempunyai fungsi Eye-Tracking yang dijayakan hasil kerjasama Tobii Tech. Apa yang mampu dilakukan oleh fungsi ini adalah pemain yang memainkan permainan yang menyokong fungsi ini dapat mengalami pengalaman paparan yang berubah sudut pandangnya mengikut pergerakan mata. Malah pengguna boleh mengawal pergerakan watak permainan dengan hanya menggunakan mata, tanpa memerlukan tetikus.

MSI GT 72 Dominator Tobii - IMG_9115 MSI GT 72 Dominator Tobii - IMG_9108

Dari segi spesifikasi, komputer ini dilengkapi dengan cip Intel Skylake i7-6700HQ generasi ke-enam. Untuk tujuan grafik yang cantik, ia menggunakan kad grafik NVIDIA GTX 980M 8GB GDDR5 dengan teknologi NVIDIA G-SYNC dan dilengkapi RAM sebesar 16GB. Ia beroperasi menggunakan Windows 10 Home dan dijual pada harga RM12,999

Satu lagi komputer menarik yang dilancarkan untuk pasaran tempatan adalah Vortex G65 yang dikuasakan oleh cip Intel Core i7-6700K dengan kelajuan sehingga 4.6GHz. Malah komputer yang mempunyai rekaan seakan Mac Pro ini mempunyai dua kad grafik NVIDIA GTX980 8GB GDDR5 yang memberikan kualiti grafik yang tinggi.

MSI Vortex - IMG_9094

MSI Vortex - IMG_9082

Antara spesifikasi lain yang terdapat pada komputer ini ialah ia juga dilengkapi dengan PSU 450 Watt dan tidak menggunakan tenaga elektrik yang banyak. Komputer ini juga menyokong sehingga 6 paparan LCD atau dua paparan dengan resolusi 4K. Seperti komputer permaian MSI yang lain, MSI Vortex turut menyediakan fungsi-fungsi khusus untuk permainan seperti Killer Shield yang memudahkan rakaman video permainan dilakukan tanpa mengganggu prestasi permainan tersebut.

Bagi pasaran tempatan, dua model MSI Vortex ditawarkan dimana perbezaannya terdapat pada cip pemprosesan serta kapasiti RAM pada kad grafik NVIDIA. MSI Vortex G65 6QF-030 yang dijual pada harga RM 18,999 menggunakan cip pemprosesan Intel Core i7-6700K dengan kad grafik Dwi-NVIDIA GeForce GTX 980 8GB GDDR5S SLI manakala MSI Vortex G65 6QD-031 menggunakal Intel Core i7-6700 dengan kad grafik Dwi-NVIDIA GeForce GTX 960 3GB GDDR5 SLI. Anda boleh mendapatkan kesemua komputer ini di kedai rasmi MSI di Plaza Low Yat ataupun di kedai komputer terkemuka seluruh negara.

Komen