Opera Untuk Desktop Menawarkan Fungsi Penjimatan Bateri – Penggunaan Sehingga Lebih 50% Berbanding Chrome

Opera Untuk Desktop Menawarkan Fungsi Penjimatan Bateri – Penggunaan Sehingga Lebih 50% Berbanding Chrome

Diterbitkan pada Mei 12, 2016 oleh .

Opera boleh dikatakan agak aktif memperkenalkan pelbagai fungsi baru pada pelayar web mereka. Sebelum ini, Opera telah menyertakan sokongan VPN dan penghalang iklan pada pelayar web desktop, dan terkini, melalui Opera untuk pembangun, mereka memperkenalkan sebuah fungsi baru – iaitu penjimatan bateri.

Fungsi baru ini lebih ditujukan kepada pengguna pelayar web berkenaan pada komputer riba. Melalui fungsi ini, Opera mengatakan ia menjimatkan penggunaan bateri – sekaligus menawarkan masa pelayaran web yang lebih lama berbanding pelbagai pelayar web yang lain.

Opera Power Saving

Untuk menggunakannya, Opera akan memaparkan sebuah ikon bateri pada bahagian atas bersebelahan dengan bar alamat apabila pengguna mencabut palam kuasa pada komputer riba mereka. Pengguna boleh mengaktifkan dengan klik padanya, selain Opera sendiri akan mencadangkan pengguna untuk mengaktifkan apabila bateri pada komputer riba hanya tinggal lebih kurang 20% sahaja.

Opera mengatakan melalui fungsi ini, mereka mengurangkan aktiviti yang diakses oleh tab-tab pada latar, mengurangkan pelbagai animasi, menghentikan sementara pemalam yang tidak digunakan, selain turut melakukan beberapa pengoptimasian yang lain.

Melalui perbandingan dengan pelayar web Chrome, Opera mengatakan ia menawarkan penjimatan tenaga sehingga 50% – dan angka ini dicapai termasuk hasil penggunaan penghalang iklan pada pelayar web mereka.

Fungsi penjimatan bateri ini hadir pada pelayar web Opera versi pembangunan sahaja buat masa ini, dan bakal diperluaskan kepada versi stabil dalam beberapa minggu lagi.

Muat-Turun Opera Dev untuk desktop


TIPS & ULASAN