LG Action CAM LTE Diperkenalkan – Kamera Aksi Dengan Sokongan LTE Untuk Penstriman Langsung Ke YouTube

LG Action CAM LTE Diperkenalkan – Kamera Aksi Dengan Sokongan LTE Untuk Penstriman Langsung Ke YouTube

Diterbitkan pada Mei 13, 2016 oleh .

LG hari ini telah memperkenalkan sebuah kamera aksi yang hadir dengan sokongan rangkaian LTE secara terbina, sekaligus menjadikan mereka sebagai antara pesaing untuk pengeluar kamera aksi terkemuka, GoPro. Dinamakan sebagai LG Action CAM LTE, ia hanya dilancarkan di Korea Selatan sahaja buat masa ini.

LG Action CAM LTE hadir dengan sokongan rangkaian LTE secara terbina, sekaligus melaluinya, ia membolehkan pengguna membuat siaran langsung terus ke YouTube LIVE tanpa memerlukan telefon pintar untuknya.

LG Action CAM LTE

Kamera aksi LG ini membawakan kamera 12.3-megapixel, yang boleh merakamkan video UHD pada kadar 30fps, atau HD penuh pada kadar 60fps. Untuk tujuan penstriman langsung, LG Action CAM LTE ini menyokong siaran HD pada kadar 30fps sahaja.

Ia turut dilengkapi dengan memori 2GB RAM serta kebolehan menggunakan kad mikro-SD sehingga 2TB. Kamera aksi ini menyertakan bateri berkapasiti 1400mAh yang mampu merakamkan video HD penuh selama empat jam.

LG Action CAM LTE menggunakan piawaian IP67 yang menawarkan sokongan kalis air sehingga kedalaman satu meter untuk 30 minit. LG mengatakan mereka akan menawarkan kerangka kalis air menyeluruh pada suku ketiga 2016 ini.

LG masih tidak mengumumkan harga jualannya buat masa ini.


TIPS & ULASAN