Dibawah bahagian peranti mudah-alih Nokia yang dimiliki oleh Microsoft, mereka mempunyai dua penawaran. Satu adalah penawaran telefon pintar berasaskan Windows Phone iaitu Lumia, dan satu lagi adalah penawaran telefon bimbit yang menggunakan jenama Nokia atau Asha.
Terkini, dengan penjualan telefon mudah-alih yang semakin merudum oleh Microsoft, kini ura-ura baru hadir mengatakan Microsoft mungkin menjual bahagian telefon bimbit mereka ini kepada Foxconn.
Untuk makluman, ketika Microsoft mengambil-alih bahagian peranti mudah-alih Nokia, mereka turut mendapatkan hak untuk jenama Nokia pada telefon bimbit (feature phone) sehingga tahun 2024 kelak.
Buat masa ini, ia sekadar desas-desus sahaja, tetapi ia tidak mustahil untuk Microsoft melakukannya. Sekiranya perkara ini benar, maka mungkin kita akan melihat perkara ini diumumkan oleh Microsoft tidak lama lagi, dan memudahkan lagi fokus pihak Microsoft pada platform mudah-alih mereka yang satu.