Tiba masanya untuk gambar peranti OnePlus 3 pula tertiris ke arena web. Seperti biasa sumber tertiris ini ialah dari raja tiris @eveleaks. Dari segi rekaan ianya seperti peranti gabungan iPhone dan HTC 10. Panel belakang nampaknya diperbuat daripada logam dam melengkung. Pada bahagian hadapan terdapat skrin AMOLED dan pengimbas cap jari pada bahagian dagu. Menurut beliau lagi peranti ini juga dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Ini ialah kapasiti yang kecil jika dibandingkan dengan peranti utama yang dipasarkan tahun ini.
Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C, pembesar suara mono dan bicu audio 3.5mm. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan talam SIM. Pada sisi bertentangan terdapat butang suara dan butang mute seperti yang dilihat pada peranti OnePlus lain sebelum ini. Rekaan ini kelihatan agak sama dengan kebanyakan peranti yang wujud di pasaran sekarang dan pada hemat kami sedikit mengecewakan. Bagaimana pula dengan anda? Adalah flagship killer terbaru OnePlus ini mampu membunuh ataupun akan terbunuh?