Flash telah hadir dengan beberapa teaser sebelum ini, dan hari ini mereka telah pun melancarkan Flash Plus 2 secara rasminya untuk pasaran global. Untuk makluman, sebelum ini ia menggunakan jenama Alcatel Flash untuk nama peranti, tetapi bermula daripada Mei 2016 lepas, ia telah hadir sebagai jenama berasingan dan dikenali hanya sebagai Flash sahaja.
Flash Plus 2 hadir dengan skrin 5.5-inci dengan paparan HD penuh, dan dijana menggunakan cip pemprosesan MediaTek Helio P10. Peranti ini turut dilengkapi dengan memori 2GB RAM dan ruangan storan 16GB yang boleh diperluaskan dengan penggunaan mikro-SD. Seperti biasa, variasi dengan memori 3GB RAM dan ruangan storan 32GB turut disediakan.
Peranti ini menggunakan pengimbas cap jari dibahagian hadapan bersama-sama butang Home. Untuk merakamkan gambar, kamera belakang 13-megapixel dengan sokongan PDAF digunakan, dan kamera hadapan 5-megapixel dengan lampu LED.
Melengkapkan peranti yang hadir dengan rekaan logam ini adalah penggunaan bateri 3000mAh yang dilengkapi sokongan pengecasan pantas. Pengguna turut boleh membuka kerangka belakang untuk memasukkan kad-SIM dan juga kad mikro-SD.
Seperti dimaklumkan sebelum ini, di Malaysia, Flash Plus 2 dijangka akan dilancarkan secara rasminya pada minggu hadapan, dan kita akan lebih mengetahui mengenai harga jualannya ketika acara pelancaran tersebut kelak.