Cari @ Amanz

Selepas pelbagai ketirisan di arena internet sejak beberapa minggu lepas, hari ini Lenovo secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar terbaru yang dinantikan ramai, iaitu Moto G4 dan juga Moto G4 Plus (atau turut dikenali dengan nama Moto G 2016).

Moto G dan Moto G Plus – kedua-duanya membawakan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan 1080p. Menjana telefon pintar ini adalah Snapdragon 617 dengan GPU Adreno 405. Ia hadir dengan pilihan memori dari 2GB RAM ke 3GB RAM, selain ruangan storan dalam pilihan 16GB dan 32GB.

Moto G 2016

Moto G 2016

Moto G4 versi biasa hadir dengan kamera 13-megapixel pada bahagian belakang dan kamera hadapan 5-megapixel. Berbeza dengan versi Moto G4 Plus pula ia hadir dengan kamera belakang 16-megapixel, dan kamera hadapan yang sama, 5-megapixel. Moto G4 Plus turut menawarkan sokongan autofokus berasaskan lazer dan PDAF – menjadikan ia antara yang terawal menawarkannya pada peranti berspesifikasi pertengahan.

Moto G4

Moto G4 Plus juga turut membawakan sokongan pengimbas cap jari yang diintegrasikan pada bahagian hadapan. Ia hanya beroperasi sebagai sensor sahaja, dan untuk penggunaan butang dan sebagainya, Moto G4 masih menggunakan butang atas-skrin. Pada bahagian bateri, ia hadir dengan bateri berkapasiti 3000mAh dan hadir dengan pengecasan pantas Turbo Charger.

Seperti peranti Moto G sebelum ini, ia hadir dengan Android versi terkini dengan penggunaan antaramuka asli Android.

Buat masa ini, peranti ini hanya diperkenalkan untuk pasaran India sahaja, dan mungkin akan diperluaskan ke beberapa negara lain dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd