Dengan perkembangan arena teknologi, salah satu bahasa yang mula menghubungkan semua pengguna adalah bahasa pengaturcaraan. Kini, dalam usaha meramaikan lagi anak muda menceburi bidang pengaturcaraan, Khairy Jamaluddin dibawah program Pemuda Umno telah melancarkan sebuah program pembelajaran baru, dinamakan sebagai Jom Belajar Koding.
Melalui Jom Belajar Koding, mereka menyasarkan untuk meliputi kawasan luar bandar dengan pembelajaran mengenai pengaturcaraan. Program ini akan berlangsung di enam buah negeri dan setiap program akan berlangsung selama dua hari lamanya.
Jom Belajar Koding akan menyentuh pembelajaran mengenai HTML, CSS dan juga PHP dan buat masa ini menyasarkan mereka yang berumur antara 18 tahun hingga 30 tahun. Pada program JBK di setiap negeri juga, beberapa peserta akan dipilih dan dibawa ke JBK Kuala Lumpur untuk melalui sebuah program hackathon. Peserta Jom Belajar Koding juga turut boleh melanjutkan pembelajaran dengan mengikuti program-program di Magic.
Pada ketika pelancaran program ini juga, ia disentuh mengatakan Malaysia akan memerlukan lebih 140 ribu tenaga kerja dengan kemahiran digital menjelang tahun 2018 kelak.
Bagi anda yang berminat, anda boleh mendaftar untuk menyertai program belajar pengaturcaraan percuma ini dengan ke laman rasmi – JBK.MY. Program pertama akan diadakan di Johor pada 27 hingga 28 Mei ini.
- Daftar : Jom Belajar Koding