Cari @ Amanz

Terdapat beberapa pelayar web berasaskan Chromium dipasaran hari ini, dan terkini salah satu pelayar web yang hadir daripada pembangun tempatan adalah Salam Browser. Menurut pembangunnya melalui laman rasmi Salam Browser, ia merupakan salah satu pelayar web yang menghormati adab Islam, membolehkan pengguna melayari web sambil menghormati tuntutan agam dan memelihara kemurniaan jiwa.

Salam Browser

Salam Browser secara kasarnya menawarkan pelayar web yang lebih kurang sama seperti Google Chrome, tetapi hadir dengan pemalam tambahan yang menghalang akses daripada laman-laman berunsur maksiat. Sebanyak lebih daripada 1.4 juta laman web telah dihalang pada pelayar web ini selain pengguna turut boleh menghantar maklumat untuk menyenarai hitamkan laman web yang bermudarat melalui fungsi terbina pada pelayar web berkenaan.

Salam Browser juga dikatakan hadir dengan integrasi VPN percuma untuk melindungi pemantauan data anda, selain membolehkan anda mengakses kandungan yang dihalang mengikut lokasi. Fungsi Data Saver turut disediakan untuk pengguna melayari web dengan pantas tanpa menggunakan data yang tinggi.

Salam Browser juga turut memaparkan hadis pada setiap halaman tab baru. Fungsi Chromium lain seperti perlindungan daripada laman phishing dan iklan spam turut disertakan pada pelaya web ini.

Buat masa ini, Salam Browser masih pada peringkat Beta dan ditawarkan untuk pengguna Windows sahaja. Anda yang berminat boleh memuat-turun dan mencubanya sendiri hari ini. Daripada percubaan kami, ia berfungsi sedikit perlahan berbanding pelayar web lain. Berkemungkinan kerana masih pada peringkat pembangunan dan akan bertambah lebih baik dalam beberapa versi akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd