Penggunaan stylus untuk menghasilkan karya seni digital bukan perkara baru. Semasa kami di kolej dahulu tablet dan stylus Wacom adalah aksesori wajib dimiliki pelajar jurusan seni. Karya seni digital sebaik karya seni tradisional boleh dihasilkan sekiranya anda cukup pakar menggunakan Wacom. Apple mungkin lambat memasuki arena stylus kerana ianya dibenci oleh mendiang Steve Jobs. Apple Pencil yang hadir dengan iPad Pro memberikan fungsi seakan Wacom pada peranti Apple ini.
Adalah amat merugikan sekiranya ia terhad kepada iPad Pro sahaja. Apple kini sudah diberikan paten kepada stylus yang boleh digunakan pada pad sesentuh Macbook dan Magic Trackpad 2 iMac. Paten difailkan pada tahun 2014. Dari dokumen yang disertakan, pergerakan Pencil dikesan pada keenam-enam paksi bagi memberikan tahap kejituan pengesanan yang tinggi. Paten yang difailkan tidak semestinya akan menghasilkan produk sebenar. Tetapi sekiranya ia direalisasikan, Pencil akan menjadi stylus yang lebih serbaguna dan tidak terhad kepada satu peranti Apple sahaja sekaligus meningkatkan jualan.