Cari @ Amanz

Rekaan semula antaramuka perisian dilakukan setiap tahun pada peranti Android. Pada peranti iOS ini hanya baru dilakukan beberapa tahun yang lalu. Ini adalah kerana Apple percaya rekaan antaramuka mereka adalah yang terbaik dan perubahan drastik tahun demi tahun tidak diperlukan. Mereka kini melakukan kemas kini ke atas rekaan dalaman Apple Store mereka pula bagi menarik lebih banyak pelanggan.

Apple-Store-San-Fran-1 Apple Store Union Square di San Francisco akan dibuka hari ini dan bakal menjadi acuan rekaan 500 Apple Store seluruh dunia. Perubahan pertama yang dilihat ialah rekaan luaran yang kini berwarna perak dan bukannya putih. Logo Apple berlampu tidak lagi digunakan. Rekaan dalaman kini lebih hijau dengan Genius Grove menggantikan Genius Bar. Pokok hidup dengan tempat duduk di kawasan ini diharap dapat menenangkan pelanggan yang menghadapi masalah dengan produk Apple milik mereka.

Apple-Store-San-Fran-2

Sebuah skrin sebesar 35 kaki dengan resolusi 6K turut dipasang bagi memaparkan video produk terkini kepada pelanggan yang datang melawat. Tujuan rekaan semula ini dilakukan adalah bagi meningkatkan status jenama Apple sebagai barangan mewah. Projek ini diselia oleh Angela Ahrendts, yang “dicuri” oleh Apple dari jenama mewah Burberry. Selain ruang menjual produk, Apple Store baru ini mempunyai taman awam yang dibuka 24 jam dengan WiFi percuma. Dengan konsep baru ini mereka berharap kedai-kedai mereka akan berubah menjadi titik pertemuan warga San Franciso.

Kami tahu terdapat golongan yang kurang menggemari produk Apple. Tetapi inovasi ruang jualan produk mereka akan ditiru oleh pengeluar lain kerana berjaya menarik pelanggan.Tidak mengejutkan sekiranya konsep terbaru mereka ini juga akan ditiru kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd