Seperti yang kami laporkan beberapa hari yang lalu, terdapat laporan pemilik iPad Pro 9.7 mengalami masalah selepas melakukan kemas kini ke iOS 9.3.2. Selepas peranti dikemas kini, ia gagal untuk dihidupkan dan melakukan boot loop tanpa henti. Pihak Apple kini mengesahkan mereka mengetahui tentang masalah ini dan menarik semula kemas kini iOS 9.3.2 untuk iPad Pro 9.7.
Kepada yang terkesan oleh kemas kini ini, Apple mengesyorkan mereka mendapatkan bantuan dari Apple Support. Masalah Error 56 yang dipaparkan ini sangat serius kerana peranti tidak boleh ditetapkan semula walaupun menggunakan iTunes. Peranti akan terus gagal berfungsi selagi pihak Apple tidak memberikan kemas kini yang lebih stabil. Masalah kemas kini yang mendatangkan masalah semakin kerap berlaku pada peranti Apple sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sedikit mengecewakan kerana mereka sebelum ini terkenal dengan proses kemas kini yang tidak pernah mendatangkan masalah.